Suspek Korea Utara pendiam dan penyendiri, kata jiran

Suspek Korea Utara pendiam dan penyendiri, kata jiran

Jiran terdengar jeritan dari pangsapuri suspek bunuh Kim Jong Nam tinggal bersama isteri dan anak perempuannya, pada malam serbuan.

kimjongnam
PETALING JAYA: Jiran kepada suspek Korea Utara yang ditahan berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam, Jumaat lalu, menyifatkan lelaki itu seorang pendiam dan penyendiri, lapor The Star hari ini.

Ri Jong Chol, 47, ditahan Jumaat malam lalu dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Dia adalah seorang daripada 4 suspek lelaki yang diburu polis dalam kes pembunuhan Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Menurut jiran suspek, lelaki yang tinggal bersama isteri dan anak perempuannya di Blok B Kondominium Dynasty Garden itu, tidak bercakap dengan jiran.

Kehadiran polis secara tiba-tiba di blok itu menyebabkan penduduk bimbang, lebih-lebih lagi apabila jeritan kedengaran dari sebuah unit, kata seorang jiran yang enggan dikenali.

Penduduk di unit berhampiran bergegas keluar selepas terdengar jeritan, tetapi anggota polis berpakaian biasa memberi amaran kepada mereka untuk masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

“Saya pada mulanya menyangka polis melakukan serbuan ke atas pendatang haram, tetapi kemudian baru tahu mereka mencari suspek pembunuhan Kim Jong Nam,” kata lelaki itu yang dipetik akhbar harian itu.

Menurutnya, Ri dan keluarganya berpindah ke kondominium itu kira-kira setahun lalu, tetapi hanya isteri dan anak perempuannya lebih kerap kelihatan berbanding suspek.

“Saya pernah nampak mereka keluar dari rumah pada waktu makan tengah hari, tetapi tidak bercakap dengan mereka.

“Beliau ialah seorang lelaki yang tidak menonjolkan diri dan kami tidak pernah bertegur sapa antara satu sama lain,” kata jiran itu sambil menambah mereka pernah menaiki lif bersama beberapa kali.

Minggu lalu, polis dilaporkan berkata, 2 wanita dan 4 lelaki adalah suspek utama dalam kes pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Media hari ini melaporkan 3 suspek lelaki lain mungkin sudah melarikan diri dari Malaysia dengan menaiki penerbangan di klia2, sejurus selepas serangan ke atas Jong Nam.

Rabu lalu, polis menahan seorang wanita yang memiliki pasport Vietnam dan bernama Doan Thi Huong, selepas dia kembali ke klia2 untuk menaiki pesawat ke Vietnam.

Keesokannya, polis menyerbu sebuah hotel di Ampang, Kuala Lumpur, untuk menahan suspek wanita ke-2 yang memiliki pasport Indonesia dengan nama Siti Aisyah dan berasal dari bandar Serang di wilayah bersebelahan Jakarta.

Kedua-dua wanita itu dikenal pasti menerusi rakaman CCTV di klia2 pada hari kejadian.

Suspek ke-3 dalam tahanan polis ialah seorang rakyat Malaysia berusia 20-an yang dikatakan ialah teman lelaki Siti Aisyah.

Dengan penangkapan terbaharu itu, 3 lelaki masih bebas.

Jong Nam yang merupakan anak sulung kepada bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berlepas ke Macau dengan menaiki penerbangan jam 9 pagi Isnin lalu.

Ketika berada di klia2, beliau didatangi seorang wanita yang menyembur sejenis cecair ke mukanya dan seorang lagi wanita menyerkup mukanya dengan sehelai kain.

Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kes bunuh Jong Nam: Polis tahan lelaki Korea Utara

3 suspek kes bunuh Jong Nam mungkin sudah ‘cabut’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.