
Pyongyang Koryo menjadi satu simbol jelas yang menunjukkan wujudnya komuniti Korea Utara di Malaysia.
Pelayan wanita di restoran itu, iaitu satu antara berdozen perniagaan Korea Utara yang dibuka di luar negara itu, memakai pakaian tradisional dan menghiburkan pelanggan dengan nyanyian serta tarian di sebuah bangunan sederhana di kawasan perumahan biasa di Kuala Lumpur.
Tetapi penduduk sekitar berkata walaupun ketika pintu terbuka, wanita muda di restoran itu tidak banyak berhubung dengan dunia luar kerana mereka dihantar pergi dan balik ke tempat tinggal mereka.
“Saya melihat wanita di situ dihantar dan dijemput ke restoran dan mereka tidak pernah berjalan kaki atau berbual dengan sesiapa pun,” kata Jack Liew, yang membuka bengkel membaiki kereta, sederet dengan restoran itu.
“Bila saya cuba lihat kawasan belakang restoran mereka, pintu ditutup dengan kertas dan tidak ada apa yang boleh kita nampak,” katanya.
Penduduk lain berkata mereka pernah nampak pekerja Korea Utara tetapi tidak pernah berbual dengan mereka, dan menggambarkan pelayan wanita di situ “sangat cantik”.
Seorang warga Korea Utara, Alex Hwang membuka restoran mewah di ibu kota Malaysia di mana ia popular dalam kalangan ekspatriat Korea Utara, termasuk Jong Nam, yang terbunuh di klia2 dalam serangan racun pada Isnin.
Perniagaan mereka termasuk syarikat animasi komputer, pembuatan dan beberapa aktiviti pasaran gelap, katanya.
“Kebanyakan mereka ada jam Rolex, pandu kereta mewah, anak mereka pergi ke sekolah biasa dan ada gajet terkini. Mereka sama seperti ahli perniagaan lain,” kata Hwang.
Tetapi mereka berfikir banyak kali sebelum berkongsi berita pembunuhan itu dengan rakan atau keluarga apabila pulang ke rumah.
Setiap keluarga Korea Utara yang tinggal di luar negara melaporkan diri ke kedutaan setiap bulan untuk sesi soal siasat untuk mendapatkan maklum balas dan apabila pulang ke negara asal, mereka perlu menjalani “pendidikan semula” sebelum dibenarkan kembali ke dalam masyarakat ramai, katanya.
Pada Sabtu, kira-kira 40 warga Korea Utara pergi ke kedutaan mereka di Kuala Lumpur, lapor Chosun TV milik Korea Selatan ketika wartawan mereka menemu bual kumpulan itu mengenai pembunuhan abang ketua Korea Utara, Kim Jong Un itu.
Penganalisis percaya Jong Nam mungkin dilihat sebagai pesaing kepada adiknya, dalam rejim dinasti yang tidak pernah melepaskan kuasanya selama 3 generasi.
Ketika ditanya sama ada Pyongyang mungkin bertanggungjawab dalam pembunuhan itu, seorang warga Korea Utara berkata, itu mengarut sebelum dia berlalu pergi dan meminta wartawan terbabit tidak mengganggunya.
Kira-kira 100,000 warga Korea Utara bekerja di luar negara dan kiriman wang mereka menjadi sumber berharga dalam bentuk mata wang asing kepada rejim terasing itu.
Pengulas Korea Utara, Park Sokeel berkata nampaknya pelayan wanita di Pyongyang Koryo tidak tahu menahu mengenai pembunuhan itu kerana pekerja tinggal di luar negara tidak mudah mendapat akses kepada media dan terhad kepada bahan yang diluluskan.
“Mereka dikawal ketat syarikat Korea Utara di mana mereka hanya berinteraksi dengan satu sama lain dan tidak boleh meninggalkan premis itu,” katanya.
Park yang juga pengarah penyelidikan dan strategi dalam kumpulan Liberty for North Korea yang memperjuangkan hak asasi manusia, berkata pelombong dan buruh di bahagian pedalaman Malaysia juga mustahil untuk terbabit dalam rancangan pembunuhan itu.
Dan jika pekerja terbabit dalam melihat akhbar antarabangsa sekali pun, mereka mungkin sukar memahami berita itu kerana kebanyakan tidak tahu ketua mereka ada abang sebapa.
“Tidak timbul persoalan sama ada orang tahu yang dia (Jong Nam) mati kerana kebanyakan orang tidak tahu pun yang kewujudannya,” katanya.