PRK Tanjong Datu bermula pagi ini

PRK Tanjong Datu bermula pagi ini

Sebanyak 16 pusat pengundian dibuka 8 pagi tadi dan PRK ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Star dan PBDS.

tanjungdatu-spr
LUNDU: Semua 16 pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu mula dibuka tepat 8 pagi ini bagi membolehkan 9,771 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daerah Lundu mempunyai pengundi paling ramai berjumlah 1,906 orang yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua.

Daerah Perigi mencatatkan bilangan pengundi paling sedikit iaitu 171 orang.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga ketua menteri Sarawak kelima, Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

PRK itu menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Puan Sri Jamilah Anu, yang merupakan balu Adenan, calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Rapelson Richard Hamit.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Tinjauan awal mendapati proses pengundian pagi ini dilihat berjalan lancar meskipun hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua mendapati beberapa pengundi berada di pusat pengundian seawal 7.30 pagi.

Turut kelihatan Rapelson yang turut hadir bersalaman dengan para pengundi di sekolah berkenaan.

Sebelum ini, seramai 188 pengundi, atau 1.9% daripada 9,959 pengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian awal yang dibuka pada 12 Februari.

SPR menjangka keputusan PRK Tanjong Datu dapat diperoleh seawal jam 8 malam ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.