
Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, kebanyakan penyokong PAS mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk datang ke ibu negara dan menghadiri perhimpunan hari ini.
“PAS tidak perlu bayar kos pengangkutan atau makan minum kepada ahli PAS untuk mengajak mereka berhimpun menyokong RUU 355.
“Mereka datang dengan poket mereka sendiri atas nama jihad dakwah memperkasakan Islam. Inilah kekuatan yang ada pada ahli PAS.
“Malah, Himpunan RUU 355 ini dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, sama ada daripada individu atau organisasi bukan kerajaan atas kesedaran mereka untuk memperjuangkan pemerkasaan Islam di negara ini melibatkan Mahkamah Syariah,” katanya kepada FMT.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
PAS sebelum ini menyasarkan kira-kira 300,000 orang akan menyertai himpunan hari ini bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Satu lagi himpunan balas dinamakan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
Antara pindaan dicadangkan RUU 355 ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.