
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, siasatan sudah dilakukan dan tiada elemen sedemikian ditemui.
“Jika dia (mangsa terselamat) nampak, minta tampil beri statement (keterangan) kepada polis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas beberapa dakwaan mangsa terselamat dalam kejadian itu yang memberitahu wanita berusia 22 tahun itu kononnya bermain telefon sambil memandu.
Sulaiman juga meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang maklumat sahih berhubung kejadian berkenaan.
Menurut Sulaiman, wanita itu yang merupakan seorang jurujual baharu sahaja pulang dari rumah kawannya ketika kejadian.
Dalam kejadian 3 pagi itu, 8 remaja lelaki dilaporkan maut setelah dirempuh kereta yang dipandu wanita berkenaan, mengakibatkan 4 lagi patah kaki, 2 tidak stabil berikutan pendarahan dalam otak dan seorang pula luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.
Kejadian berlaku ketika kumpulan remaja berkenaan sedang berbasikal menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru dan dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.
Menurut Sulaiman, tindakan mereka itu menyebabkan wanita terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar kumpulan berkenaan.