Umno: Harapan Ku Nan jadikan P Pinang syurga bebas cukai

Umno: Harapan Ku Nan jadikan P Pinang syurga bebas cukai

Pengerusi Umno negeri berkata hasrat Tengku Adnan dijadikan benda paranoia oleh kerajaan Pulau Pinang, sedangkan ia tidak mungkin berlaku

zainal-osman
GEORGE TOWN:
Idea menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan ialah menjadikannya syurga bebas cukai, dakwa pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Selepas menemui Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor pada Isnin, Zainal berkata kerajaan negeri sudah menyalah tanggap hasrat itu.

Pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu menjelaskan Adnan sekadar “berharap, mengimpikan dan membayangkan” pulau negeri itu sebagai Wilayah Persekutuan, bukannya keseluruhan negeri itu.

“Tengku Adnan berniat baik, cuma harapan sahaja. Walaupun tidak mungkin berlaku, perkara itu dijadikan benda paranoia oleh kerajaan Pulau Pinang.

“Saya ingin beritahu kerajaan negeri hasrat itu tidak mungkin berlaku. Cukup di sini sahaja. Kita harap isu ini boleh dikuburkan,” kata Zainal pada sidang media di Bangunan Bousted, Jalan Northam di sini hari ini.

Pada 31 Januari lepas, Tengku Adnan memberitahu stesen radio BFM89.9 sekiranya diberi peluang beliau mahu menjadikan Langkawi, sebahagian Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan. Beliau kemudian memasukkan Pulau Tioman juga.

Tengku Adnan berkata ia bagi memastikan pembiayaan, pembangunan dan perumahan mencukupi di kawasan tersebut.

Hasrat itu mengundang tentangan hebat dari kerajaan Pulau Pinang, malah Kedah juga membantah Putrajaya mengambil Langkawi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang paling lantang membantah hasrat itu berkata Wilayah Persekutuan akan mengambil kuasa gabenor, Dewan Undangan Negeri dan hak mengundi rakyat Pulau Pinang.

Beliau turut melancarkan kempen “Saya Sayang Pulau Pinang” bagi menjawab hasrat Adnan itu.

Zainal berharap Guan Eng bertenang kerana Pulau Pinang tidak mungkin dijadikan Wilayah Persekutuan tanpa persetujuan kerajaan negeri.

“Saya setuju Guan Eng tahu kesulitan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mungkin tidak membenarkan ia berlaku.

“Lagipun, ia memerlukan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, persetujuan Agong, Majlis Raja-Raja dan paling penting, persetujuan kerajaan negeri,” kata Zainal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.