
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi menyelesaikan isu pembayaran subsidi kepada syarikat terbabit.
“Ada sedikit masalah teknikal seperti borang (tuntutan daripada syarikat pembungkusan) tidak lengkap.
“Saya sudah pun berbincang dengan menteri kewangan II untuk membantu masalah ini, KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) akan ambil alih untuk menyelesaikan dan membayar terus kepada syarikat pembungkusan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu kekurangan minyak masak di pasaran selepas menyampaikan amanat 2017 kepada gerakan koperasi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini.
Semalam, KPDNKK mengarahkan 48 pasar raya di Kelantan mengehadkan pembelian minyak masak bersubsidi kepada 2kg seorang bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan asas itu di pasaran ketika ini.