Diplomat veteran seru Putrajaya usir duta Korea Utara

Diplomat veteran seru Putrajaya usir duta Korea Utara

Sekiranya disahkan rejim Pyongyang terlibat dalam pembunuhan di Malaysia, tindakan tegas perlu diambil kerajaan, kata bekas duta.

north-korea-embasys
PETALING JAYA:
Seorang bekas diplomat Malaysia ke China menggesa Putrajaya menghalau duta Korea Utara, memandangkan ada tanda kuat rejim itu mengupah ejennya membunuh abang tiri pemimpin mereka Kim Jong-un.

“Jika disahkan ejen Korea Utara yang membunuh Kim Jong-nam di klia2, itu suatu pelanggaran diplomatik yang serius,” kata Datuk Dennis Ignatius yang pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Beijing pada awal 80-an.

Kedutaan itu turut bertanggungjawab urusan diplomatik Malaysia dan Pyongyang.

Dennis berkata adalah tidak mengejutkan sekiranya ejen Korea Utara membunuh Jong-nam, lelaki berusia 46 tahun yang merupakan anak kepada diktator Kim Jong-il, dan dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan semasa di bawah adik tirinya

“Sudah sekian lama Korea Utara berkelakuan seperti rejim jahat dengan melakukan pembunuhan, penculikan, penyeludupan dan tindakan lain yang tidak sewajarnya dilakukan oleh sebuah negara,” katanya.

Polis Malaysia melancarkan siasatan ke atas kematian Jong-nam, walaupun belum secara rasmi mengesahkan identiti si mati. Ia sekadar berkata lelaki itu menggunakan pasport membawa nama Kim Chol, nama yang dipercayai digunakan Jong-nam.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai “kematian mengejut”.

Laporan mengatakan lelaki itu berada di terminal tambang murah klia2 di Sepang untuk menaiki penerbangan ke Macau pada Isnin, apabila seorang wanita menyembur cairan dan menyerkup mukanya dengan kain dari belakang.

Polis semalam menahan seorang wanita memiliki pasport Vietnam, beberapa jam selepas polis melepaskan pemandu teksi yang mengangkut suspek.

Polis menghantar mayat untuk bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur. Semalam, Malaysia menolak permintaan Korea Utara untuk mengabaikan bedah siasat.

“Insiden berlaku di sini dan kami perlu menjalankan siasatan terperinci dan bedah siasat adalah sebahagian daripada prosedur,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim kepada FMT.

Menurut Dennis, operasi membunuh Jong-nam tidak mungkin berlaku tanpa kelulusan peringkat tertinggi Pyongyang.

“Rejim ini perlu diingatkan mereka tidak boleh terlepas dengan kelakuan mengejutkan ini.

“Dalam masa terdekat, sesuai untuk kita pertimbangkan menutup kedutaan di Pyongyang dan membawa pulang diplomat kita yang menderita kerana bernasib malang ditugaskan di sana,” kata Dennis, sambil menambah hubungan diplomatik dengan Korea Utara hanya “memberikan rejim itu pengiktirafan yang tidak berhak diterimanya.”

Laporan asing berkata Malaysia antara segelintir negara yang masih mempunyai hubungan rapat dengan Korea Utara, yang menerima kecaman antarabangsa kerana menolak tuntutan untuk menghentikan ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu balistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.