
Hakim Azman Husin membenarkan permohonan adik Balamurugan, Balraj, untuk menjalankan bedah siasat ke-2 ke atas mayat abangnya itu.
Timbalan Pendakwa Raya Fakhizaa Abu Bakar tidak membantah permohonan itu.
Dengan perintah mahkamah, mayat Balamurugan akan dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat ke-2, seperti permohonan Balraj.
Balraj berkata menerusi afidavitnya, keluarga tidak dapat menerima kesimpulan bedah siasat pertama hospital Klang yang menyatakan abangnya meninggal dunia akibat “masalah jantung”.
Beliau juga mendakwa Balamurugan cedera dan muntah darah apabila dibawa ke Mahkamah Majistret untuk pendengaran reman.
“Dua suspek lain yang ditahan bersama abang saya memberitahu peguam kami, mereka dipukul oleh polis,” kata Balraj.
Balamurugan, 44, meninggal dunia pada 8 Feb semasa dalam tahanan polis. Menurut laporan berita, dia ditemui dengan muka yang bengkak teruk dan pendarahan.
Beliau ditahan pada 6 Feb, dan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan reman pada hari berikutnya.
Mahkamah Majistret menolak perintah reman itu dan mengarahkan Balamurugan dibebaskan, tetapi polis tidak melepaskannya.
Ketua Polis Daerah Klang Mohd Yusoff Mamat dilaporkan oleh Bernama berkata, 10 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang disiasat berhubung kematian Balamurugan ini.
Bagaimanapun, Yusoff berkata tiada pegawai digantung tugas.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga menyiasat kematian Balamurugan ini.