Kematian Kim Jong-nam: Polis tahan suspek wanita Vietnam di klia2

Kematian Kim Jong-nam: Polis tahan suspek wanita Vietnam di klia2

Khalid berkata, suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV di klia2 dan bersendirian ketika ditahan hari ini.

girls-arrested
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan penahanan seorang wanita warga Vietnam yang merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek wanita warga Vietnam berusia 29 tahun itu bernama Doan Thi Huong.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Khalid berkata, suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang dan bersendirian ketika ditahan hari ini.

Dalam pada itu, seorang pegawai polis kanan di Bukit Aman yang dipetik Oriental Daily berkata, polis juga sedang memburu 4 lelaki dan seorang lagi wanita yang merupakan suspek utama dalam kes itu.

Pegawai polis kanan itu mengesahkan polis Selangor menahan suspek itu di klia2, pagi tadi.

Katanya, suspek yang tiba-tiba muncul dan berlegar di klia2 itu ditahan polis selepas mengenal pasti wajahnya sama dengan wanita dalam CCTV sebelum ini.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek itu menginap di sebuah hotel di Salak Tinggi dan ditinggalkan 5 suspek lain selepas melakukan jenayah berkenaan.

“Polis melalui rakaman mendapat tahu 2 wanita Vietnam itu menyembur racun ke muka Kim Jong-nam, manakala 4 lagi lelaki memerhatikan mereka dari sebuah restoran Nyonya di lapangan terbang itu.

“Selepas 2 wanita itu selesai melancarkan serangan, mereka (4 lelaki itu) dibahagikan kepada 2 orang sekumpulan untuk melarikan diri.”

Difahamkan, suspek wanita itu dalam keterangannya kepada polis memaklumkan 4 suspek lelaki berkenaan terdiri daripada warga Vietnam dan Korea Utara.

Selepas tiba di hotel, 4 lelaki dan salah seorang suspek wanita yang melancarkan serangan itu tiba-tiba meninggalkan hotel berkenaan.

Menurut polis, mereka sudah mengenal pasti 5 suspek yang melarikan diri itu adalah perancang pembunuhan berkenaan dan operasi memburu mereka giat dijalankan.

Dalam pada itu, pemandu teksi warga tempatan yang ditahan di sekitar ibu negara petang Isnin lalu dibebaskan hari ini, selepas polis mengenal pasti dia tidak terbabit dalam kes itu.

Menurut sumber yang dipetik Oriental Daily, 2 perisik wanita Vietnam itu keluar dari lobi klia2 dan segera menaiki sebuah teksi yang sudah menunggu mereka.

Menurut laporan media, mangsa maut itu ialah Kim Chol yang sebenarnya Kim Jong-nam, iaitu abang sebapa kepada Jong-un yang hidup dalam buangan di Macau dan ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke sana dari Malaysia.

Kematian Kim Jong-nam: Pemandu teksi klia2 ditahan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.