Roberto Carlos lancar klinik bola sepak Real Madrid

Roberto Carlos lancar klinik bola sepak Real Madrid

Kecemerlangan teknikal kelab Sepanyol akan diterapkan dalam program pembangunan bola sepak.

robertos-carlos
NILAI:
Kelab liga Sepanyol, Real Madrid, melancarkan klinik bola sepak di Malaysia di sini, di bawah kerjasama Yayasan Real Madrid (FRM) dan Kolej Epsom Malaysia (ECiM).

Klinik bertujuan menyediakan latihan bola sepak bertaraf dunia dan mempromosikan nilai kesukanan Real Madrid kepada pemain muda.

Selain Malaysia, FRM turut menubuhkan klinik di serata dunia, termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Hong Kong.

“Yayasan Real Madrid ditubuhkan untuk mempromosikan nilai kesukanan di Sepanyol dan luar negara sebagai pemacu pembangunan diri dan kepimpinan di dalam dan luar lapangan.

“Kami bawa kecemerlangan teknikal, pengalaman dan semangat Real Madrid, kelab terhebat dalam sejarah bola sepak dunia,” kata kelab itu dalam kenyataan hari ini.

Diadakan di ECiM, program itu membolehkan peserta untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam bola sepak selama 1 atau 2 minggu.

Di samping sesi bola sepak, peserta juga boleh memanfaatkan program pendidikan yang direka untuk memantapkan teras kemahiran sesama manusia.

Pelancaran di ECiM di sini hari ini dihadiri bekas pemain Real Madrid dan lagenda bola sepak Brazil Roberto Carlos, bekas kapten pasukan kebangsaan Soh Chin Aun dan pemilik Queens Park Rangers Tan Sri Tony Fernandes.

“Ini bukan mengenai bola sepak semata-mata, tetapi mengenai kerja keras dan menghormati ibu bapa dan sebagainya. Kami berharap lebih banyak idea boleh diperoleh melalui kerjasama ini,” kata Fernandes kepada pemberita seusai pelancaran.

Carlos, yang singgah di Singapura semalam sebelum terbang ke Malaysia berkata kerja keras amat penting kepada kejayaan pemain muda.

“Anak muda yang mahu berjaya dalam kehidupan atau bola sepak perlu bekerja keras, sedari tanggungjawab mereka di sekolah dan menghormati keluarga. Menggabungkan pendidikan dan sukan boleh dilakukan melalui kerja keras,” kata Carlos.

Carlos, 43, bersara daripada bola sepak profesional pada 2015 selepas bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2006, tetapi masih berkhidmat untuk Real Madrid sebagai duta kelab. Beliau juga sebahagian daripada pasukan Brazil pada 2002.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.