Anggota PGA positif syabu lepas 100 tembakan

Anggota PGA positif syabu lepas 100 tembakan

Koperal terbabit melepaskan tembakan rambang di 5 lokasi antara jarak 800m dari pos keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

PGA-syabu
KANGAR:
Seorang koperal Pasukan Gerak Am (PGA) dipercayai di bawah pengaruh dadah melepaskan 100 das tembakan dengan rifel M16 dalam kejadian di pos keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Sabtu lepas.

Anggota PGA berumur 34 tahun itu bertugas dengan Batalion 1 berpangkalan di Kem Ulu Kinta, Perak hanya dapat diberkas rakan-rakannya selepas kehabisan peluru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Azhar Muda berkata, koperal terbabit melepaskan tembakan rambang di 5 lokasi antara jarak 800m dari pos keselamatan berkenaan yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, kejadian itu bermula 4.15 petang apabila koperal tersebut menembak ke arah tembok sempadan, namun rifel beliau dirampas rakan-rakannya.

“Semasa rakannya sembahyang Asar, koperal terbabit mengambil sepucuk rifel mereka dan menunggang motosikal sejauh 800m ke kebun getah untuk melepaskan tembakan dan kemudian ke lokasi ke-3, dia menembak tiang lampu sempadan,” kata Azhar pada sidang media hari ini.

Katanya, koperal itu kemudian ke kolam ikan di Jalan Stesen Keretapi kira-kira 400m dari pos keselamatan berkenaan dan mengacukan senjata ke arah 2 pemancing ikan sehingga mereka melarikan diri sebelum dia melepaskan beberapa das tembakan.

Beliau berkata, selepas itu, koperal terbabit berpatah balik ke lokasi ke-5 dan menembak bangunan pos keselamatan yang turut mengenai tiang bendera dan hanya dapat diberkas setelah kehabisan peluru.

“Semasa anggota itu melepaskan tembakan, kira-kira 12 anggota PGA lain terpaksa menyorok agar tidak terkena tembakan,” kata Azhar sambil menambah polis yang menyiasat kejadian itu menemui 73 kelongsong peluru di kawasan kejadian.

Azhar berkata, ujian air kencing mendapati koperal tersebut positif syabu dan dia juga dipercayai mengambil minuman keras sebelum kejadian.

Katanya, suspek ditahan reman 4 hari yang berakhir esok dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Dalam kes lain, 3 lelaki berumur 21 hingga 29 tahun diberkas bersama sepucuk pistol separa automatik serta 2 butir peluru hidup dan sepucuk pistol tiruan di sebuah rumah di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, pada malam Sabtu lepas.

Azhar berkata, 3 lelaki tempatan itu ditahan reman 7 hari bermula Ahad lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.