Dego Ride masih boleh didapati, ada permintaan tinggi

Dego Ride masih boleh didapati, ada permintaan tinggi

Semalam, kerajaan berkata akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengendali Dego Ride meneruskan perkhidmatan

dego-ride-1
KUALA LUMPUR:
Walaupun diarah menghentikan operasinya serta-merta seperti yang diumumkan semalam, perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride, masih boleh didapati di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan itu berjalan seperti biasa – sekurang-kurangnya seperti yang ditempah seorang pemberita agensi berita ini.

Selepas membuat tempahan untuk perjalanan dari Jalan Tun Razak ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC), seorang penunggang tiba dengan motosikal berwarna biru dan menyerahkan topi keledar untuk perjalanan itu.

Ditanya tentang arahan supaya Dego Ride menghentikan operasinya, penunggang itu berkata: “Saya belum terima sebarang maklum balas tentang perkara itu daripada pengendali perkhidmatan ini. Jadi, saya meneruskannya seperti biasa.”

Penunggang itu berkata perkhidmatan Dego Ride mendapat permintaan tinggi kerana ia membantu warga kota bergerak dengan mudah di sekitar bandar raya ini dalam kesesakan lalu lintas.

Tambang sehala ke KLCC yang mengambil masa hanya tujuh minit ialah RM2.50, manakala perjalanan pulang dengan teksi selama 15 minit melibatkan tambang RM15.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengendali Dego Ride meneruskan perkhidmatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.