DBKL kena bantu staf struktur semula pinjaman, kata Ku Nan

DBKL kena bantu staf struktur semula pinjaman, kata Ku Nan

Menteri Wilayah Persekutuan berkata secara umumnya penjawat awam berhutang lebih daripada sepatutnya.

tengkunan-dbkl
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah membantu kakitangan yang terpaksa mengikat perut kerana perlu membayar balik pinjaman mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan yang dikenali sebagai Ku Nan itu merujuk kepada kajian terkini menunjukkan sejumlah 1,276 kakitangan DBKL berdepan masalah pembayaran balik pinjaman.

Ku Nan berkata kajian dijalankan pengurusan tertinggi DBKL menunjukkan ada kakitangannya yang hanya tinggal RM50-RM100 dalam saku – duit yang ada untuk meneruskan kehidupan sepanjang bulan selepas sejumlah besar gaji ditolak untuk membayar pinjaman.

Bercakap pada perhimpunan bulanan DBKL di Cheras pagi ini, menteri itu berkata ramai antara kakitangan itu bertugas sebagai staf sokongan.

Beliau berkata DBKL bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan serta Jabatan Akauntan Negara untuk mencari penyelesaian paling praktikal menangani isu itu.

Angkasa menyediakan perkhidmatan potongan gaji untuk kakitangan awam, koperasi badan berkanun,, kelab, koperasi, kesatuan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Tengku Adnan berkata satu cara untuk membantu kakitangan ialah dengan menyerap dan menstrukturkan semula pinjaman berkenaan.

“DBKL boleh buat ini. Mungkin kita boleh panjangkan tempoh pembayaran semula dan mengenakan kadar faedah lebih rendah untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata pengendali perniagaan yang menyediakan perkhidmatan, atau pembelian barang secara ansuran, adalah punca kepada masalah itu.

“Masalahnya ialah mereka mahu barang sekarang dan terus menerus membelinya. Dan akhirnya mereka hanya ada RM50, RM100 dalam poket,” katanya, dan turut mendesak Putrajaya mengkaji masalah itu.

Katanya, kajian itu juga mendapati terdapat penipuan dalam sesetengah permohonan pinjaman itu.

Bagaimanapun, katanya isu itu bukan luar biasa kepada kakitangan DBKL dan ia turut berlaku dalam kalangan penjawat awam secara keseluruhan.

“Kami sedang membuat pemeriksaan dengan ketua jabatan yang menandatangani kertas dan dokumen menyatakan orang berkenaan memperoleh gaji lebih tinggi daripada gaji sebenarnya bagi membolehkan dia membuat lebih banyak pinjaman,” katanya.

Tengku Adnan membangkitkan kes seorang guru di Putrajaya yang gajinya kira-kira RM6,000 tetapi hanya dapat menggunakan RM700 saja selepas bakinya ditolak bagi membayar pinjaman.

“Ada juga drebar di Jabatan Perdana Menteri. Gajinya kira-kira RM3,000 tetapi semua duit dia habis setiap bulan kerana digunakan membayar pinjaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.