
Hasil semakan ke atas buku teks Sejarah yang digunakan pelajar senior 1 hingga 3 di sekolah persendirian Cina mendapati ia mengandungi sejarah Malaysia, Asia Tenggara, China dan dunia.
Pendahuluan buku teks itu menyatakan sukatan pelajaran itu dibuat berdasarkan kurikulum kebangsaan untuk Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Lepasan UEC memberitahu FMT yang mereka belajar sejarah asas tempatan, serantau dan dunia pada tahun junior, sebelum meneruskan kajian mendalam mengenai subjek itu pada tahun senior.
Kelmarin, Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Vincent Lau Lee Ming menafikan sekolah persendirian Cina menggunakan buku teks dari China atau Taiwan, seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau berkata, Dong Zong menyusun sendiri buku teks Sejarah untuk kegunaan sekolah persendirian Cina yang turut merangkumi sejarah Malaysia.
“Kita sebenarnya sudah membuat penyusunan seperti silibus negara mengenai sejarah. Kita rasa ia sudah hampir menyamai apa yang kita pelajari (di sekolah kebangsaan), melainkan Kementerian Pendidikan tampil dengan satu cadangan atau komen,” katanya.
Selasa lalu, Lau berharap kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC setaraf dengan STPM untuk memudahkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti kerajaan.
Beliau turut meminta pelajar sekolah persendirian Cina dibenarkan menduduki kertas bahasa Malaysia sahaja bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukannya semua 6 mata pelajaran wajib untuk mengiktiraf sijil UEC.
Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu yang bermakna lepasan UEC boleh berkhidmat dalam sektor awam negeri, memasuki kolej dan universiti milik negeri serta memohon pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak.
Selangor turut menerima kemasukan lepasan UEC ke universiti milik negeri, manakala Pulau Pinang pula mengambil lepasan UEC bekerja dengan syarikat milik kerajaan negeri.
UEC turut diiktiraf setara dengan SPM oleh lebih 1,000 universiti di seluruh dunia, termasuk Institut Teknologi California, Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Toronto dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah persendirian Cina di seluruh negara, sejak 1975, dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan UEC.
Bagaimanapun, pengumuman itu dibantah beberapa pihak seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (Serap) dengan alasan ia tidak menepati piawaian Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa mendakwa kurikulumnya diciplak dari Taiwan dan UEC juga tidak telus kerana bukan dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia, selain tidak diajar sejarah Malaysia.
Pengerusi Serap, Shahril Hamdan berkata, mengiktiraf UEC akan memudaratkan perpaduan negara.
“SPM bukan sekadar kertas bahasa Malaysia. Ia adalah satu pengalaman pendidikan dan sosialisasi secara keseluruhan. Menyerah kalah kepada permintaan itu akan menjatuhkan taraf peperiksaan,” katanya.
Dong Zong nafi silibus subjek Sejarah diambil dari China, Taiwan