
“Saya persoalkan keikhlasan ketua menteri, yang sangat menyayangi negeri kami,” kata Oh pada sidang media di Jalan Gurney hari ini.
Tong Keong mengulas kenyataan terbaharu Guan Eng yang berkata beliau hanya akan menjawab menteri seperti Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bukan orang seperti Tong Keong.
“Ketua menteri heboh kata dia sedia mendengar suara rakyatnya, tetapi sekarang ini dia kata hanya mahu dengar suara pemimpin Umno dan para menteri.
“Saya, rakyat Pulau Pinang, pernah membangkitkan 10 masalah. Saya, seperti rakyat Pulau Pinang yang lain berhak diberi jawapan,” kata Tong Keong.
Gerakan baru-baru ini mengkritik kempen “Saya Sayangkan Pulau Pinang” yang dilancarkan sebagai respon kepada hasrat menteri menjadikan negeri itu sebahagian Wilayah Persekutuan.
Tong Keong berkata Guan Eng tidak menyayangi Pulau Pinang kerana pembotakan bukit berleluasa di bawah pentadbirannya.
Sementara itu, Tong Keong meminta kerajaan negeri menjelaskan rancangan di sebalik tebus guna tanah di Jalan Gurney.
Ini kerana tujuan 71 ekar daripada 131 ekar belum diumumkan.
“Kami tertanya apakah plot itu akan digunakan untuk membina banglo? Kerajaan negeri perlu jelaskan,” katanya.
Tong Keong merujuk kepada usaha tebus guna tanah sebahagian daripada projek Gurney Wharf – sebuah taman dermaga yang dibina atas tanah yang ditebus guna kira-kira 5km dari tepian pantai Jalan Gurney beserta pantai buatan sepanjang 400m.
Ia bakal memuatkan kawasan makanan dan minuman tepi pantai, taman air dan dusun.
Turut dilaporkan sebuah pusat beli-belah, 2 hotel, sebuah pusat perniagaan dan pusat kesihatan diri akan dibina di situ.
Lebuh raya 8 laluan akan dibina melalui kawasan tebus guna itu.