Bot karam di Tawau: Polis buru kapten larikan diri

Bot karam di Tawau: Polis buru kapten larikan diri

Lelaki itu dipercayai melarikan diri setelah diselamatkan 2 lelaki yang memancing di tengah laut.

bot-karam
TAWAU:
Polis Tawau sedang mengesan seorang mangsa lelaki yang terselamat dipercayai kapten bot karam di Perairan Batu Payung, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lelaki itu dipercayai melarikan diri setelah diselamatkan 2 lelaki yang memancing di tengah laut.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui perkara itu berdasarkan rakaman keterangan terhadap seorang lagi mangsa, Mansur Umar, 25, yang turut diselamatkan 2 pemancing berkenaan.

“Mansur menceritakan selepas 5 jam berenang ekoran bot pecah, mereka terdengar bunyi enjin perahu dan kedua-duanya berteriak meminta tolong.

“Seorang lelaki yang menyelamatkan mereka ini menawarkan agar bermalam di rumahnya sebelum menghantar kedua-dua mangsa ke tempat dituju keesokan harinya (semalam),” kata Fadil dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadil, rakaman keterangan Mansur diambil kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.

Dalam keterangan itu juga, Fadil berkata, Mansur ke Kampung Titingan, Selasa lalu, untuk menaiki perahu pulang ke Sungai Nyamuk di Indonesia, menemui keluarganya.

“Di Titingan, Mansur bertemu seorang lelaki, Nasir Selasa (ditemui lemas di Sungai Taiwan, Indonesia) dipercayai pengurus yang mengatur perjalanan ke Sungai Nyamuk.

“Kira-kira 4 petang, mangsa bersama penumpang lain menaiki perahu berwarna biru laut dipandu seorang lelaki tidak dikenali sehingga ke muara Sungai sebelum bertukar bot laju yang dipandu kapten lain sehingga insiden bot itu karam,” kata Fadil.

Setakat ini, 11 daripada 15 mangsa tragedi bot karam itu ditemui. Daripada jumlah itu, 4 terselamat termasuk lelaki yang dipercayai kapten bot, manakala bakinya meninggal dunia.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat dijalankan bagi mengesan 4 lagi mangsa masih hilang.

Pencarian itu membabitkan kawasan seluas 68 batu nautika persegi di perairan Tawau.

Padah guna laluan haram, polis tak sedar kejadian bot karam

Bot karam: 6 mayat ditemui di perairan Indonesia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.