Mes pegawai zaman kami tempat orang budiman, kata kapten bersara

Mes pegawai zaman kami tempat orang budiman, kata kapten bersara

Abdul Rahmat Omar Haniff berkata majlis sosial pada zamannya menjadi perjumpaan tidak rasmi untuk memupuk semangat setiakawan dalam kalangan pegawai dan keluarga selepas waktu bekerja.

Abdul Rahmat Omar Haniff
Kapten bersara tentera udara, Abdul Rahmat Omar Haniff, persoal bagaimana parti liar boleh diadakan di pangkalan tentera seperti didakwa di media sosial.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai tentera udara mempersoalkan sikap seperti ‘sambil lewa’ terhadap keselamatan dan piawaian tingkah laku di pangkalan tentera, susulan dakwaan baru-baru ini berkait penganjuran parti liar yang dikatakan turut melibatkan pekerja seks.

Kapten bersara tentera udara, Abdul Rahmat Omar Haniff, berkata pelanggaran sedemikian hampir mustahil berlaku tanpa dikesan.

“Ia adalah sesuatu yang sangat melampau jika ia benar. Apa sudah jadi kepada pelbagai proses keselamatan?” katanya. “Pastinya pengawal tahu. Tentu pegawai bertugas pada malam mereka ini masuk tahu. Pastinya, komander bertugas akan menerima laporan jika ada laporan dibuat.”

“Semestinya komander pangkalan akan tahu jika beliau membaca laporan tersebut – sekiranya laporan itu dibuat. Saya melihat adanya sikap sambil lewa di sini pada semua peringkat,” katanya kepada FMT.

Rahmat berkata, majlis sosial di pangkalan tentera semasa zamannya pada 1980-an merupakan perjumpaan tidak rasmi bertujuan memupuk semangat setiakawan dalam kalangan pegawai dan keluarga mereka selepas waktu bekerja.

Mes pegawai dianggap kediaman bersama yang menuntut rasa hormat. “Ia adalah rumah anda dan juga rumah rakan-rakan pegawai lain,” katanya. “Ia bukan tempat yang boleh anda dicemarkan.”

Majlis dijalankan dalam persekitaran terkawal dan penuh hormat, bukannya parti liar yang bising dan kecoh seperti didakwa dalam laporan baru-baru ini.

“Pada 1980-an, mes adalah tempat di mana pegawai berkumpul selepas waktu kerja untuk berbual, berehat, dan mengeratkan hubungan,” katanya. “Pada hujung minggu, pegawai sudah berkahwin sering membawa isteri mereka, manakala pegawai bujang pula mungkin hadir bersama pasangan masing-masing. Ia merupakan ruang sosial bagi ahli keluarga sebagaimana ia berfungsi untuk para pegawai.”

Rahmat, yang juga anak kepada bekas ketua polis negara, Haniff Omar, berkata piawaian tingkah laku yang ketat telah dikuatkuasakan semasa tempoh perkhidmatannya; tingkah laku tidak senonoh atau tidak sopan dilarang sama sekali di bawah peraturan mes.

“Pegawai perlu mengekalkan tingkah laku budiman pada setiap masa, manakala pasangan mereka pula diharap berkelakuan dengan cara yang sama bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti di mes merangkumi pelbagai acara, daripada perbualan santai sehinggalah kepada majlis makan malam yang diatur serta malam mes formal, yang kadang-kala disusuli sesi tarian.

Rahmat turut menekankan peranan nilai-nilai institusi dan bimbingan agama dalam tempoh berkenaan.

Beliau mengimbau sekitar 1987, penjualan alkohol dalam mes pegawai dihentikan susulan nasihat daripada Kor Agama Angkatan Tentera.

Pegawai bukan Islam tetap dibenar membawa minuman beralkohol sendiri untuk kegunaan peribadi, mencerminkan usaha mengimbangi pertimbangan agama dengan keterangkuman.

Sejak beberapa hari lalu, banyak hantaran di media sosial mendakwa berlakunya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, termasuk dakwaan orang luar – yang sebahagiannya dikatakan pekerja seks – hadir dalam parti melibatkan anggota tentera.

Dalam maklum balas, Kementerian Pertahanan bertindak mengarahkan angkatan tentera menjalankan siasatan dalaman.

Kementah menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan ditimbulkan, sambil menegaskan tingkah laku sedemikian tidak mencerminkan budaya, nilai, atau amalan sebenar angkatan tentera, yang berpaksikan disiplin, profesionalisme, dan pematuhan ketat prosedur keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.