Hamzah: Henti rampas berus bulu babi, elak perpecahan kaum

Hamzah: Henti rampas berus bulu babi, elak perpecahan kaum

Hamzah berkata, arahan itu bertujuan mengelakkan sensitiviti agama dan memastikan polemik ini tidak berterusan.

Datuk-Seri-Hamzah-Zainudin
KUALA LUMPUR:
Dua hari selepas mempertahankan serbuan serta rampasan ke atas berus cat disyaki menggunakan bulu babi, menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan hari ini mengarahkan operasi itu dihentikan segera.

Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, arahan itu bertujuan mengelakkan sensitiviti agama dan memastikan keharmonian kaum terpelihara.

“Semalam, lepas mesyuarat Kabinet, saya ada maklum kepada pegawai saya yang diketuai Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Roslan Mahayudin supaya henti buat serbuan.

“Sepatutnya, ia dilakukan dengan cara lebih berhemah dan kita tidak mahu isu ini terus menjadi polemik sehingga boleh memecahbelahkan rakyat negara ini dan ingin memastikan keharmonian kaum.

“Saya cuma nak beritahu pegawai janganlah buat rampasan seolah-olah ada masalah besar dan negara,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Kelmarin, Hamzah dilaporkan berkata, KPDNKK dan jabatan agama negeri akan terus melakukan pemeriksaan mengejut serta merampas berus cat disyaki diperbuat daripada bulu babi kerana peniaga gagal mematuhi peraturan, iaitu mengasing dan melabelkan berus cat diperbuat daripada bulu babi.

Ia susulan ujian makmal dilakukan Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM) ke atas sampel berus cat berkod A913 dan A680 yang mengesahkan ia diperbuat daripada bulu babi.

Mengulas lanjut, Hamzah memberi tempoh sebulan kepada semua pembekal dan peniaga cat berus mengasing serta melabelkan produk bukan makanan, sama ada ia mengandungi DNA babi atau sebaliknya, sejajar Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang Diperbuat Daripada Mana-mana Bahagian Babi atau Anjing) 2013.

Katanya, ia bertujuan memudahkan pengguna membuat pilihan dan kegagalan berbuat demikian selepas tempoh itu, peniaga boleh dikenakan tindakan.

“Sepatutnya, peniaga mempunyai etika untuk memberitahu pembeli sama ada barang itu daripada binatang atau sebaliknya, dan pada masa sama, saya nak ingatkan semua pengguna sudah tahu isu ini berbangkit, mereka perlu tanya peniaga kalau tidak pasti kandungan sesuatu barang itu.”

Beliau turut menempelak pihak yang menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas isu itu.

“Saya tahu ada kumpulan yang hanya melihat inilah masa mereka hendak memecahbelahkan kita, mereka akan menggunakan isu ini dan cakap ini masalah kerajaan BN. Kita juga minta semua media lepas ini kalau isu sensitif, jumpa menteri dulu,” katanya.

Ditanya sama ada cat berus yang dirampas pihak berkuasa itu akan dipulangkan kepada peniaga, Hamzah berkata, perbincangan akan diadakan dalam tempoh 2 minggu untuk menentukan langkah selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.