
Pengerusi Dong Zong, Datuk Vincent Lau Lee Ming pihak masih menunggu maklum balas dan penjelasan mengenai keputusan itu.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan anggapan pihak tertentu yang pembelajaran mereka tidak memenuhi aspirasi kebangsaan.
“Aspek mana yang mengatakan kita tidak memenuhi aspirasi (pendidikan) negara? Pelajar kita juga mempelajari sejarah Malaysia, dunia, Asean dan juga China.
“Kami tidak seperti difikirkan sesetengah pihak yang menuduh kami menggunakan buku teks dari China atau Taiwan. Perkara itu tidak betul,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, dan dikendalikan sejak 1975 oleh Dong Zong.
Sijil itu diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk Universiti Oxford tetapi bukan di Malaysia.
Pada 29 November tahun lalu, kerajaan bersedia mengiktiraf UEC jika pihak berkepentingan sanggup mengikut syarat kerajaan antaranya penyelarasan kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam peperiksaan tersebut.
Semalam, Vincent berharap Putrajaya membenarkan pelajar sekolah persendirian Cina menduduki subjek Bahasa Malaysia untuk Sijil Pelajaran Malaysia sahaja dan bukannya kesemua 6 subjek.
Vincent menambah, pihaknya juga menyusun buku teks Sejarah sendiri dan ia merangkumi sejarah Malaysia.
“Kita sebenarnya sudah membuat penyusunan seperti silibus negara mengenai sejarah. Kita rasa ia sudah hampir menyamai dengan apa yang kita pelajari.
“Melainkan Kementerian Pendidikan mereka datang dengan satu cadangan atau komen,” katanya.