
Bung yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata: “Tahniah kepada Datuk Zaid. Semoga ini parti yang terakhir buat beliau.”
Beliau berkata demikian memandangkan sejarah politik Zaid sebelum ini yang sering bertukar parti, bermula dengan Umno, PKR dan terakhir memimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).
DAP ialah parti politik ke-3 disertai Zaid sejak meletak jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
Bung bagaimanapun berkata penyertaan Zaid dalam DAP tidak memberi ancaman kepada Umno.
“Soal ancaman tidak timbul kerana Umno mempunyai strategi tersendiri untuk meyakinkan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Selepas keluar dari Umno, Zaid menyertai PKR pada 2009 dan keluar daripada parti itu selepas berlaku pertembungan dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selepas parti Kita, beliau mengumumkan persaraan daripada dunia politik pada 2013.
Hari ini, beliau secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam DAP pada satu sidang media yang dihadiri pimpinan kanan DAP dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.