7 Mac keputusan permohonan Guan Eng cabar Akta SPRM

7 Mac keputusan permohonan Guan Eng cabar Akta SPRM

Tarikh itu ditetapkan selepas peguam kedua-dua pihak berhujah di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail hari ini.

guangeng-sprm
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 Mac untuk keputusan permohonan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang menghadapi pertuduhan rasuah, bagi mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Phang dan Gobind Singh Deo yang mewakili Lim serta Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Terdahulu, Sithambaram berhujah Seksyen 62 menyekat hak tertuduh untuk berdiam diri dan ini menyalahi Perkara 5 (1) dan 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tertuduh ada hak di sisi perlembagaan untuk dianggap tidak bersalah dan hak berdiam diri tetapi seksyen tersebut menyekat perilaku tertuduh walaupun sebelum kes didengar di mahkamah.

Sithambaran berhujah seksyen itu yang menuntut tertuduh mengemukakan kenyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan hanya membataskan tertuduh kepada kenyataan.

“Pihak pembelaan tidak dapat mengemukakan dokumen tambahan bagi pembelaan jika ada keterangan baru didengar semasa perbicaraan,” katanya.

Gobind berhujah mana-mana peruntukan yang menyekat tertuduh atau hak tertuduh untuk berdiam diri adalah melanggar Perkara 5 (1) dan 8 (1).

Beliau berkata walaupun peruntukan Seksyen 51 (A) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) seolah-olah memberi lebih kelonggaran kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan keterangan dan dokumen selanjutnya, tetapi Seksyen 62 menyekat tertuduh untuk mengemukakan fakta dan dokumen sebelum perbicaraan bermula.

“Hakikat ada satu peruntukan yang lebih memihak kepada pendakwaan untuk mendiskriminasikan tertuduh atau hak tertuduh dan jika itu berlaku, maka ia bertentangan dengan peruntukan kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Masri pula berhujah di bawah peruntukan Seksyen 62, tiada sebarang diskriminasi atau bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan menegaskan seksyen itu adalah berperlembagaan.

Bulan lepas, Lim dan Phang memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan seksyen itu tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Seksyen 62 menetapkan selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen, tertuduh hendaklah menyerahkan antaranya pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.

Nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta dengan Lim mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town, pada 28 Julai 2015, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim, lot tanah dan rumah itu di tempat dan pada tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.