
Individu terbabit akan mengendalikan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk pelanggan dengan menggunakan lesen syarikat berdaftar dan pengawal keselamatan sendiri atau yang tidak sah.
Sebagai balasan, syarikat berdaftar itu akan mendapat keuntungan daripada kontrak pengawal keselamatan itu.
Penyewa lesen itu akan mengupah pengawal keselamatan haram kerana bayaran mereka murah dan mudah didapati. Tetapi, pengawal keselamatan haram yang tidak ditapis pihak berkuasa mungkin mempunyai akses ke kawasan dilindungi milik pelanggan.
“Masalah besar ialah syarikat berdaftar ‘menyewakan’ lesen mereka kepada pihak ke-3 yang tidak berdaftar dengan KDN.
“Jadi, kamu dah pakai lesen orang, matlamat nak dapat duit. Tak ikut apapun, kamu buat sahaja.
“Individu ini akan mengambil pengawal keselamatan tidak ditapis. Satu cara untuk mengesan mereka ialah melalui pakaian seragam,” katanya kepada FMT.
Khirudin berkata, selalunya pakaian seragam pengawal keselamatan haram tidak mempunyai logo Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), sebaliknya mereka hanya mempunyai logo perisai hitam umum dengan perkataan “perkhidmatan keselamatan” di lengan baju kiri.
Katanya, pelanggan pihak ke-3 itu tidak peduli sama ada perkhidmatan itu diberikan syarikat berdaftar atau tidak kerana mereka lebih mementingkan kos.
Menurut laporan, lesen 40 syarikat pengawal keselamatan dibatalkan pada 2014 dan 2015, manakala 49 syarikat lain mendapat amaran akhir daripada kementerian atas beberapa kesalahan, termasuk mengambil pengawal keselamatan haram.
Minggu lalu, 3 lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan IS, ditahan di Kuantan dan Kuala Lumpur.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, suspek pertama adalah warga Indonesia berumur 37 tahun yang merupakan pemastautin tetap Malaysia dan bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia Airlines Berhad.
Suspek ke-2 berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, manakala suspek ke-3 berumur 38 tahun dan tidak bekerja.
Susulan itu, KDN memberi amaran akan membatalkan syarikat pengawal keselamatan yang tidak mematuhi prosedur penapisan ketika mengambil pekerjanya.
Mei tahun lalu, 60 pengawal keselamatan warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen adalah antara 92 pengawal ditahan dalam operasi khas di Lembah Klang.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali dilaporkan berkata, ia adalah hasil pasukannya menjalankan 815 pemeriksaan ke atas pengawal keselamatan di pelbagai lokasi, termasuk sekolah, pusat beli-belah, bank, kedai emas, pengurup wang, kawasan perumahan dan tapak pembinaan.
Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang dipetik New Straits Times berkata, syarikat pengawal keselamatan perlu menjalankan penapisan lebih ketat ketika mengambil pengawal keselamatan.
Ini kerana, pengawal keselamatan di Malaysia adalah sasaran utama dalam senarai rekrut IS disebabkan syarikat terbabit tidak begitu teliti dalam proses penapisan pengambilan pengawal keselamatan.