Timbalan KPN: Jangan bimbang, polis akan ‘dampingi’ Selva Kumar

Timbalan KPN: Jangan bimbang, polis akan ‘dampingi’ Selva Kumar

Polis akan menemuramah Selva Kumar dan memastikan akan mengetahui di mana beliau tinggal apabila di Malaysia

Noor-Rashid-Ibrahim_Selva-Kumar_600
KUALA LUMPUR:
Polis berjanji akan “mendampingi” dan memantau pergerakan Selva Kumar Subbiah, 56, perogol bersiri yang disabitkan kesalahan, apabila dia tiba di negara ini selepas dipenjarakan selama 24 tahun di Kanada.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata demikian sambil menggesa agar rakyat jangan takut dan bimbang.

“Kita akan jumpa dengan Selva Kumar dan akan cuba dapatkan latar belakang dia daripada pihak polis di Kanada. Kita nak tahu di mana dia tinggal supaya senang polis pantau.”

“Kita faham kerisauan masyarakat. Kalau ada unsur mengancam, kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Sultan Yahya di ibu negara, hari ini.

Selva dijangka pulang ke tanahair Ahad ini, diiringi 3 anggota Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada.

Berita kepulangannya sukar diterima orang ramai yang menggesa sistem pendaftaran pesalah seks diwujudkan segera.

Noor Rashid berkata polis belum mendapat maklumat yang tepat daripada polis Kanada berhubung kepulangan Selva.

“Kita kena periksa bila dia sampai, setakat ini belum (dapat maklumat),” katanya. “Kita akan tahu sebelum dia tiba.”

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata polis akan mengambil beberapa langkah keselamatan awal apabila Selva pulang ke Malaysia.

“Antaranya kita akan temuramah dia. Seterusnya kita nak tahu apa dia nak buat. Pada masa sama, sebab kita tak boleh pantau 24 jam, kita harap masyarakat bantu polis.

“Kita mahu masyarakat berhubung dengan kita sekiranya ada tingkah laku yang mendatangkan syak wasangka dan mencurigakan

“Dia berhak untuk hidup seperti biasa. Masyarakat juga berhak hidup dengan tenang. Polis akan pastikan semua rakyat dapat hak masing-masing,” katanya.

Pada 1992, Selva didapati bersalah atas 19 pertuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah dan 10 pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain, termasuk peras ugut.

Menurut laporan CBC News, antara mangsa Selva termasuk 4 gadis, dengan seorang daripadanya berusia 14 tahun.

Pada mesyuarat lembaga parol minggu lalu, Selva Kumar berkata, dia mempunyai “pelan pembebasan berstruktur” untuk kebebasannya di Malaysia dan juga “sokongan keluarga yang kuat”.

Pada 18 Januari lalu, akhbar Kanada, Toronto Star melaporkan Selva akan dihantar pulang ke Malaysia selepas dibebaskan pada 29 Januari, walaupun kakitangan penjara memberi amaran dia berpotensi melakukan jenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata terlalu awal untuk mengatakan Selva akan menjadi ancaman tanpa maklumat yang mencukupi.

Amaran bekas polis Kanada: Selva Kumar belum berubah

Mengapa lewat wujud daftar pesalah seks, soal DAP

Setuju polis pantau Selva Kumar, tetapi jaga hak asasinya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.