DAP miskin idea pertikai MB kutip sampah, kata exco

DAP miskin idea pertikai MB kutip sampah, kata exco

Zahir berkata, apa yang dilakukan menteri besar Perak merupakan prinsip '3P' yang sering diamalkannya iaitu pendekatan, turun padang dan penyelesaian.

zahir-nga
IPOH:
Kenyataan Nga Kor Ming yang mempertikaikan tindakan menteri besar Perak mengutip sampah menunjukkan pengerusi DAP Perak itu miskin idea, kata pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri.

Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kenyataan Nga juga mencerminkan DAP Perak tergugat dengan pendekatan kerajaan negeri dalam usaha mendekati rakyat secara telus.

“Saya cukup ‘bersimpati’ dengan Nga. Ini kerana apa yang dilakukan menteri besar merupakan prinsip ‘3P’ yang sering diamalkannya iaitu pendekatan, turun padang dan penyelesaian.

“Ini bukannya kali pertama menteri besar bertindak sebegitu, jadi mengapa Nga mula tidak senang duduk dan mengeluarkan komen sebegitu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Nga yang menyifatkan tindakan Zambry mengutip sampah bertujuan mencari publisiti murahan dengan membawa jurukamera dan pengamal media.

Semalam, Zambry menyertai kerja pembersihan dan pemunggahan sampah sarap bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man serta anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula 6.30 hingga 9 pagi di sekitar bandar raya Ipoh.

Zambry yang mengenakan topi dan pakaian seperti pekerja perkhidmatan am MBI, menaiki lori sampah dan mengutip sampah di beberapa kawasan sekitar Buntong, Little India dan Pasar Besar Ipoh.

Sementara itu, Zahir berkata, dakwaan Nga yang mengatakan Perak negeri ke-2 termiskin di negara ini membuktikan tahap kelekaan ahli Parlimen Taiping tersebut terhadap perkembangan semasa negeri.

Memetik laporan dikeluarkan Ogos lalu, beliau berkata, bagi 2012 hingga 2015, Perak mencatatkan kadar purata pertumbuhan ekonomi 7.7%, iaitu lebih tinggi daripada kadar purata nasional 3.3%.

“Malah, dari segi peratusan miskin dan miskin tegar, Perak mempunyai kadar kemiskinan sebanyak 3.29% sahaja dan ini lebih baik berbanding Pulau Pinang dan Selangor.

“Peratusan miskin tegar di negeri ini juga hanya 0.74% dan ini juga jauh lebih baik daripada kedua-dua negeri itu,” katanya.

Justeru, kata Zahir, tindakan Nga membuat kenyataan tanpa memeriksa fakta adalah satu tindakan terdesak.

MB Perak kutip sampah demi publisiti murahan, kata DAP

MB Perak naik lori, kutip sampah bersama pekerja

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.