
“Jika dia mahu tinggal di Malaysia atau di mana saja, adakah dia akan terus (melakukan jenayah) walaupun pada usianya sekarang? Ya,” kata Brian Thomas bersama rakan sekerjanya, Peter Duggan yang menahan lelaki berusia 56 tahun itu yang dilabelkan penjenayah seks paling berbahaya di Kanada oleh pihak berkuasa negara itu.
“Kita perlu ingat, ini bukan mengenai seks. Ia tentang kuasa dan kawalan. Dia adalah kuasa dan kawalan sepenuhnya ke atas mangsanya,” kata Thomas kepada CanCrime, sebuah blog jenayah dikendalikan wartawan penyiasatan Kanada yang pernah memenangi anugerah, Rob Tripp.
Selva Kumar dijangka pulang ke Malaysia Ahad ini, selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada.
Pada 1992, dia didapati bersalah atas 19 pertuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah dan 10 pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain, termasuk peras ugut.
Pada mesyuarat lembaga parol minggu lalu, Selva Kumar berkata, dia mempunyai “pelan pembebasan berstruktur” untuk kebebasannya di Malaysia dan juga “sokongan keluarga yang kuat”.
“Mengarut,” kata Thomas ketika ditanya mengenai jaminan bekas banduan itu, tetapi menambah beliau tahu latar belakang Selva Kumar, “sebuah keluarga yang kaya di Malaysia”.
Paling teruk
Dalam wawancara audio selama 35 minit bersama Cancrime, Thomas mengimbas kembali pengalaman mengejutkan daripada lebih 500 wanita yang membantu siasatan polis.
Katanya, kes Selva Kumar adalah yang paling teruk beliau pernah saksikan sepanjang kerjayanya selama 30 tahun berurusan dengan penjenayah berbahaya.
“(Dari skala) 1 hingga 10, saya letakkan dia pada skala 15.”
Thomas mengimbau penemuannya sepanjang siasatan dijalankan, di mana Selva Kumar hampir meyakinkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dia cuba jadikan sebagai pelacur, membunuh diri dengan terjun dari bumbung sebuah bangunan.
“(Dia beritahu gadis itu) tunggu sehingga saya turun supaya saya dapat melihatnya,” katanya sambil menambah gadis itu tiba-tiba mengubah fikirannya.
Ia antara 75 pertuduhan dihadapi Selva Kumar.
1,500 nama dan gambar
Katanya, ramai mangsa Selva Kumar hidup menderita, dengan sebahagian daripada mereka membunuh diri, ketagihan arak, dadah dan cuba membunuh diri akibat trauma dengan pengalaman sendiri.
Beliau berkata, apabila menyerbu rumah Selva Kumar, polis menemui gambar dan video mangsa serta beberapa buka termasuk “sebuah buku besar berwarna hitam dan merah”, di mana dia “memberi markah” kepada setiap mangsanya.
Thomas menganggarkan kira-kira 1,500 nama dan gambar wanita ditemui di dinding.
Katanya, polis menemubual lebih 500 wanita daripada senarai Selva Kumar dan 120 orang bersetuju memberi keterangan di mahkamah terhadap penjenayah itu.
Beliau berkata, mangsa adalah wanita muda, ada di antara mereka terdiri daripada isteri anggota polis, peguam dan wartawan.
Katanya, ramai mangsa tidak sedar mereka diberikan dadah kerana khayal selepas mereka diperdaya sehingga mempercayai lelaki itu adalah ejen bagi model.
Rakan subahat cantik dan kaya
Thomas berkata, seorang mangsa Selva Kumar memberitahu polis bagaimana beliau berada dalam koma dan sedar dengan mendapati dirinya dirogol.
“Air menitis di atasnya dan dia rasa seperti berada di bawah air terjun. Kemudian beliau membuka matanya. Dia berada di atasnya dan peluh menitik di wajahnya.
“Kemudian beliau pengsan sekali lagi akibat dadah,” katanya sambil menambah penjenayah itu akan membawa mangsanya pulang ke rumah sebelum mereka bangun dan fikir diri mengalami “mimpi buruk”.
Seorang lagi mangsa memberitahu polis bagaimana beliau bangun pada suatu pagi dan menemui bulu kemaluan orang lain di atas katilnya.
Thomas berkata, Selva Kumar mempunyai rakan subahat wanita “yang datang dari keluarga kaya”.
Beliau menyifatkan wanita itu “muda, menarik, berambut perang, berpakaian kemas” yang diberi nama samaran “Laura” dan akan mendekati wanita muda untuk mempelawa mereka bekerja bagi majikannya.
Bagaimanapun, katanya, suspek wanita itu tidak didakwa kerana dia bersetuju memberi keterangan bagi menghadapkan Selva Kumar ke mahkamah, sesuatu yang mengecewakan polis.
Saya sedia ke Malaysia, kata perogol bersiri selepas bebas di Kanada