
Bagaimanapun, mereka mengingatkan Selva Kumar Subbiah, yang disifatkan pihak berkuasa Kanada sebagai perogol bersiri yang masih tidak berasa bersalah atas jenayahnya, merupakan individu bebas dan sudah menjalani hukumannya.
Selva Kumar, 56, dijangka tiba di Malaysia Ahad ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun tidak ada undang-undang khusus bagi mengawal pergerakan bekas banduan seperti Selva Kumar supaya tidak menjadi ancaman awam, polis akan memantaunya “dari jauh” berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Lawyers for Liberty (LFL) berkata ia seiring dengan tugas polis mencegah jenayah sebelum ia berlaku.
“Beliau (Selva Kumar) adalah individu bebas, kita perlu faham asas ini. Tetapi saya setuju dengan Khalid,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen kepada FMT.
“Sebahagian daripada tugas polis juga adalah untuk menghalang jenayah daripada berlaku, apatah lagi selepas mengambil kira rekod jenayah (Selva Kumar) yang serius,” katanya.
Nama Selva Kumar menjadi perhatian awal bulan lalu selepas media Kanada melaporkan kebimbangan beliau bakal mengakhiri tempoh hukuman penjara dan bakal dihantar pulang ke Malaysia.
Pihak penjara Kanada pada Jun tahun lalu menolak permohonan parolnya kerana mendapati Selva Kumar “berkemungkinan melakukan jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau mendatangkan bahaya besar kepada orang lain”.
Eric berkata undang-undang membenarkan polis “mengintip” mana-mana individu yang disyaki berisiko melakukan jenayah.
“Ketika pemantauan, polis boleh menyoal siasatnya jika perlakuannya menimbulkan keraguan. Polis boleh menghalangnya sebelum beliau melakukan apa-apa jenayah,” katanya.
Badan hak asasi Suaram pula berkata terpulang kepada polis mengenai cara pemantauan dilakukan.
“Kita hanya dapat maklumat daripada laporan media, tetapi mungkin pihak berkuasa atau mahkamah Kanada ada memberikan cadangan kepada pihak berkuasa di Malaysia berkaitan kepulangannya,” katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata Selva Kumar masih mempunyai hak asasi.
“Pemantauan tidak boleh sehingga mencabuli hak asasinya sebagai individu bebas,” kata Sevan lagi.
Selva Kumar dijatuhkan hukuman pada 1992 selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.