Mangsa tragedi bot karam berpaut pada mayat kawan

Mangsa tragedi bot karam berpaut pada mayat kawan

Tiga pelancong ditemui mati pada Ahad, manakala 22 orang lagi, termasuk juragan, diselamatkan, ramai daripada mereka dalam keadaan berdarah dan melecur.

bot-karam2
KOTA KINABALU: Mangsa tragedi bot karam Fan Li Xia dan penumpang lain berpaut pada mayat kawan selama mana yang mungkin ketika hanyut di Laut China Selatan.

Bot jenis katamaran, yang membawa 27 pelancong China dan 3 anak kapal ketika cuti Tahun Baru Cina, karam pada Sabtu di perairan Borneo selepas dipukul ombak kuat dalam perjalanan ke pulau percutian Mengalum.

Tiga pelancong ditemui mati pada Ahad, manakala 22 orang lagi, termasuk juragan, diselamatkan, ramai daripada mereka dalam keadaan berdarah dan melecur.

Empat pelancong dan 1 anak kapal masih belum ditemui.

Fan Li Xia berkata kumpulannya, saling diikat pada bot dengan jaket pelampung, hanyut dibawa arus dan bergelut di dalam air sejuk selama lebih 30 jam.

“Saya tidak akan terselamat kalau penyelamat tidak menjumpai kami pada masa itu,” katanya kepada pemberita di sebuah hospital di Kota Kinabalu.

“Kawan saya mati. Kami tarik mayatnya bersama kami selama separuh hari, tapi kami tak terdaya jadi terpaksa lepaskan.”

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata pelancong diselamatkan nelayan dan kapal tunda. Kapal dan pesawat tentera mengeruk laut bergelora mencari 5 yang hilang itu.

Seorang lagi mangsa, Yang Yaoru berkata semangat kolektif membantu mereka mengharungi kesejukan. Mereka berkongsi sedikit makanan yang ada dan saling memberi kekuatan untuk terus hidup.

Yaoru, yang bercuti bersama ibunya berkata, mereka berlonggok bagi mengekalkan kepanasan tubuh dan tidak melepaskan genggaman masing-masing.

Yaoru sangat bimbang akan ibunya, yang tidak pandai berenang.

“Kalau saya mati, ibu tidak boleh hidup dengan sendiri…saya mesti bawa dia pulang,” kata wanita 24 tahun itu kepada syarikat penyiaran CCTV dari katil hospitalnya.

Ribuan pelancong China berkunjung ke Pulau Mengalum semasa cuti Tahun Baru Cina. China salah satu sumber utama pelancong bagi Malaysia.

Hubungan antara kedua negara tergugat pada 2014 apabila pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Sebahagian besar penumpangnya warga China.

Pencarian pesawat itu berakhir bulan ini dengan kegagalan.

Kejadian bot karam melibatkan pelancong biasa berlaku di perairan Sabah. Media melaporkan polis menangkap pemilik bot dan 2 anak kapal dan sedang menyiasat kejadian itu.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.