
Exco Kesihatan Dr Daroyah Alwi berkata jabatan negeri tidak mempunyai pilihan selain mengambil khidmat syarikat luar untuk menjalankan kerja pengasapan di kesemua 12 kawasan pihak berkuasa tempatan.
“Kita menjangkakan peningkatan kes denggi kerana musim hujan. Sebagai langkah proaktif, kita meminta pihak berkuasa tempatan supaya menggunakan khidmat syarikat pengawalan makhluk perosak kerana kekurangan tenaga manusia,” katanya kepada FMT.
Dr Daroyah mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan yang mengumumkan 6 negeri mencatatkan peningkatan jumlah kes denggi pada minggu ketiga Januari.
Enam negeri itu ialah Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya antara 15-20 Januari, sejumlah 2,053 kes dilaporkan di 6 negeri terbabit, iaitu peningkatan 177 kes (9.43%) berbanding 1,876 kes minggu sebelumnya (8-14 Januari).
Dr Noor Hisham berkata 6 kematian dilaporkan pada minggu ketiga, menjadikannya 13 kes kematian di seluruh negara dalam tempoh 3 minggu pertama tahun ini berbanding 23 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut Dr Daroyah, kawasan ‘hot spot’ denggi terletak di Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak. Jabatan Kesihatan turut mencatatkan 1,133 kes dan 2 kematian antara 1-21 Januari.
Beliau menambah beberapa daerah mencatatkan lebih 20 kes denggi dan memerlukan perhatian segera.
“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM600,000 yang sudah dibayar kepada semua pihak berkuasa tempatan sejak Januari.
“Kerajaan turut menaikkan belanjawan untuk memerangi denggi dari RM1.5 juta pada 2016 kepada RM5 juta tahun ini.”