
Ahli Parlimen Kluang Liow Chin Tong berkata jumlah itu memerlukan masa dan beberapa generasi untuk membayarnya jika projek yang dicadangkan gagal.
“Rakyat masih tidak faham, kenapakah kita memerlukan sebuah Pelabuhan Klang baru apabila Pelabuhan Barat (Westport) sudah melakukan cadangan membesarkan pelabuhan.
“Apakah projek ini masih berdaya maju dengan adanya kapasiti pengendalian kontena yang terlalu banyak atau berlebihan di Selat Melaka?
“Atau ini satu permainan hartanah menggunakan cadangan pembinaan pelabuhan sebagai topeng?” kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan pelabuhan terbaharu di Pulau Carey meliputi kawasan selepas 100km persegi, di bawah zon bebas dagangan, serta mempunyai zon perumahan, komersil dan prasarana sokongan.
Sebelum ini, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tekad meneruskan projek ini dan percaya ia sebagai persediaan masa depan.
Pengerusi LPK Tan Sri Kong Cho Ha berkata kompleks pelabuhan ini melengkapkan kemudahan di Pelabuhan Klang, Westport dan Northport serta tidak mengancam projek pelabuhan baharu di Melaka.
Chin Tong meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya menjelaskan sumber dana untuk projek itu.
“Perdana menteri dan menteri pengangkutan perlu menjawab sama ada projek itu projek pelabuhan swasta yang dibiaya sepenuhnya oleh pelabur dari China, atau kerajaan perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk prasarana.
“Adakah ini akan menjadi seperti projek Melaka Gateway yang saya pernah katakan tiada potensi komersial sebagai sebuah pelabuhan tetapi pusat tentera laut China pada masa depan.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui perkara ini,” katanya.