
Zakir akan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri di Arau dan ia akan disiarkan secara langsung di Facebook.

Beberapa mufti di Malaysia melahirkan perasaan kagum terhadap Zakir.
Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menyifatkan beliau sebagai seorang pendakwah yang dihormati.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga mempertahankan Zakir daripada pengkritik.
Saluran TV Islam tempatan Al-Hijrah menyiarkan temu bual harian dengan Zakir berkenaan pelbagai topik dan ceramah beliau.
Tahun lepas, Zakir menjadi tajuk utama selepas Hindustan Times melaporkan beliau memegang 2 kerakyatan India-Malaysia.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Zakir, 51, juga dilaporkan diburu Direktorat Penguatkuasaan India dalam kes pengubahan wang haram.
Agensi Siasatan Kebangsaan republik itu juga sedang menyiasat 78 akaun bank dan pelaburan berjumlah RS100 crore (RM65 juta) yang berkaitan dengan beliau, sebagaimana dilaporkan NDTV.
Kementerian Dalam Negeri India mengisytiharkan Zakir bebas ke luar negara kerana beliau tidak berada di dalam senarai pengganas.
Menteri persekutuan Datuk Seri Nazri Aziz adalah seorang daripada beberapa ahli politik tempatan yang lantang bersuara menentang Zakir.
Nazri berkata Malaysia mempunyai ulama sendiri dan tidak memerlukan ulama dari luar negara untuk menyebarkan permusuhan di negara ini.
Zakir, penerima Tokoh Maal Hijrah 2013, menyebabkan kekecohan tahun lalu selepas didakwa menghina dewa dan amalan Hindu.
April lalu, anaknya, Fariq Naik, 22, menyampaikan ceramah bertajuk “Salah faham tentang Islam” di Pulau Pinang, dengan pihak berkuasa negeri memberitahu beliau agar tidak lari daripada topik.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy lantang menentang Zakir, berkata beliau tidak dialu-alukan di Malaysia.
Zakir juga dilaporkan diharamkan daripada memasuki United Kingdom dan Kanada, berikutan sokongan jelas terhadap kumpulan pengganas al-Qaeda.