Bot hilang: 23 orang lagi ditemui selamat, 6 masih hilang

Bot hilang: 23 orang lagi ditemui selamat, 6 masih hilang

Lima daripada 23 orang yang diselamatkan ditemui sebuah bot tunda dan 18 yang lain oleh beberapa bot nelayan.

shahidan-kassim
PETALING JAYA:
23 orang yang hilang selepas bot catamaran dinaiki mereka tenggelam di perairan Sabah, berjaya diselamatkan. Enam yang lain bagaimanapun dilaporkan masih hilang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata 5 daripada 23 orang yang diselamatkan ditemui sebuah bot tunda, dan 18 yang lain oleh beberapa bot nelayan.

Semuanya ditemui sekitar jam 4 hingga 5 petang hari ini.

“Mereka kini dalam perjalanan dari Pulau Tiga ke Labuan,” katanya pada sidang media di lapangan terbang Sandakan, Sabah, hari ini.

Turut mengiringi beliau adalah Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Menurut Shahidan, misi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga 6 mangsa lagi dijumpai.

“Saya dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri kami akan menggunakan pesawat yang boleh bergerak dan mencari walaupun pada waktu malam.

“Dan saya mengarahkan APMM mengambil pesawat dan helikopter yang boleh digunakan untuk mencari baki mangsa malam ini.”

Bot catamaran putih meninggalkan Jeti Tanjung Aru, Kota Kinabalu menuju Pulau Mengalum pada pukul 9 pagi semalam, hari pertama Tahun Baru Cina, dan ia dilaporkan hilang apabila ia tidak tiba 12 jam kemudian.

Bot berkenaan dilaporkan tenggelam kerana keadaan laut bergelora, yang dinaiki 3 anak kapal dan 28 pelancong China.

Apabila ditanya berapa ramai penumpang China diselamatkan, Shahidan berkata pihak berkuasa masih tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya pada masa ini.

Dua daripada anak kapal ditemui pada kira-kira jam 2 petang, di perairan antara Pulau Tiga dan platform petroleum luar pesisir Samarang.

28 pelancong China hilang di perairan Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.