Pilihan raya awal di Sabah cuma spekulasi, kata Najib

Pilihan raya awal di Sabah cuma spekulasi, kata Najib

Perdana menteri berkata kerajaan tidak membuat sebarang keputusan mengenai pilihan raya kilat di Sabah.

najib_sabah_undi_600
KUALA LUMPUR:
Perdana menteri hari ini menepis semua laporan mengatakan pilihan raya kilat akan diadakan di Sabah.

“Kita tidak ada keputusan malah belum ada keputusan berhubung sama ada pilihan raya negeri awal akan dibuat di Sabah atau tidak.

“Jadi, pada kedudukannnya ia masih spekulasi setakat ini,” kata Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Najib mengulas laporan media semalam mengatakan pilihan raya negeri (PRN( mungkin diadakan di Sabah seawal April tahun ini.

Sabah mengadakan PRN berlainan sebelum pilihan raya umum 2004.

Sebelum ini, media melaporkan sumber sebagai berkata Najib membenarkan cadangan itu tetapi meminta laporan penilaian ke atas semua 60 kerusi DUN sebelum memberi kata putus.

Penganalisis percaya BN berpeluang memenangi lebih banyak kerusi sekiranya PRN diadakan lebih awal daripada pilihan raya umum (PRU).

Ditanya mengenai maklum balas daripada BN negeri, Najib berkata: “Kita akan tengok segala aspek tapi setakat ini ia hanya spekulasi.”

Najib turut menepis spekulasi yang mengatakan mesyuarat BN di peringkat bahagian dan cawangan sedang berlangsung petunjuk PRU ke-14 akan diadakan pada akhir tahun ini.

“Ini (spekulasi) bukan-bukan. Mesyuarat biasa sahaja. Tahun ini ‘tahun biasa’ jadi kita buat (mesyuarat) mengikut masa kita yang sesuai.”

Petang tadi, Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata jentera parti sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kilat.

“Pilihan raya negeri Sabah secara berasingan membolehkan rakan-rakan dari Semenanjung turun membantu jentera BN Sabah,” katanya, lapor Bernama.

Ditemui selepas mesyuarat, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin secara peribadi tidak melihat keperluan mengadakan pilihan raya kilat di negerinya.

“Kita juga berpandangan tidak ada perkara yang mendesak untuk adakan PRN. Kita teruskan seperti biasa,” katanya.

Mengapa Sabah perlukan pilihan raya kilat, soal Guan Eng

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.