
Noraihan Che Ali, kakak ipar kepada Bahri Mohamad Zain – bekas pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM – berkata demikian mengenai laporan polis Bahri dan isteri, Noor Haslina, terhadapnya minggu lepas.
Menurut Malaysiakini, laporan itu dibuat di Kelantan. Dalam laporan itu, Bahri menuduh Noraihan membuat laporan palsu terhadapnya. Noraihan menuduh Bahri menyalahgunakan kuasa untuk mengarahkan serbuan ke atas rumahnya.
“Saya lebih awal mengisytiharkan kepentingan saya secara bertulis kepada pihak atasan saya kerana khuatir wujud konflik kepentingan memandangkan isteri serta adik beradiknya juga terlibat dalam kes tersebut.
“Justeru operasi siasatan tersebut dipimpin oleh pegawai lain, bukan sama sekali saya,” menurut laporan Bahri, yang dilihat oleh portal itu.
Namun pengakuan Bahri yang mengesahkan memang ada siasatan dilakukan mengundang tanda tanya, kerana ia berkenaan urusan yang tidak termasuk dalam bidang kuasa SPRM, kata Noraihan.
“Saya difahamkan bahawa isteri Datuk Bahri yang menjadi pengadu yang membuat laporan terhadap saya. Laporan menuduh saya memalsukan tandatangan allahyarham suami saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Sepertimana yang ditunjukkan di laman web SPRM, Bahagian Operasi Khas ditubuhkan pada 1 April 2010 untuk menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
“Saya tuntut daripada pihak Bahri, SPRM dan juga polis untuk menjelaskan di manakah dalam kes perebutan harta pusaka menjadi suatu kes kepentingan awam berprofil tinggi.”
Noraihan juga menuntut pihak berkuasa menjelaskan hasil siasatan SPRM terhadapnya, dan mengapa mereka belum mahu memulangkan dokumen peninggalan harta suaminya.
Menurutnya, dokumen itu dirampas dalam serbuan ke atas rumah dan pejabatnya lebih setahun lalu.
Noraihan, pengarah di Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist), mengadakan sidang akhbar minggu lepas dan mendakwa Bahri mengarahkan pasukan daripada bahagiannya untuk menyerbu rumahnya, di mana dokumen berkenaan kolej dan perniagaan lain dirampas.
Beliau berkata suaminya, Muhamad Zamly Abdullah, bekas pemilik Kist dan abang kepada isteri Bahri, meninggalkan aset bernilai RM100 juta dan hutang mencecah RM85 juta.
Oleh itu, Noraihan mendakwa, ia mencetuskan perbalahan antara adik-beradik Bahri, Noraihan dan anak lelaki pasangan itu yang berusia 9 tahun.