Menteri: Awas, Kejara bakal dilaksanakan April

Menteri: Awas, Kejara bakal dilaksanakan April

Sistem canggih ini dilengkapi kamera litar tertutup untuk mengenal pasti dan mengesan pesalah jalan raya dalam masa yang singkat

Datuk Seri Liow Tiong Lai
BENTONG:
Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang bakal dilaksanakan April ini dilihat mampu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sistem yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini di peringkat akhir pautan ke laman sesawang JPJ bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas mereka.

“Ini sistem canggih yang melibatkan kamera litar tertutup dibantu sistem IT untuk mengenal pasti dan mengesan semua pesalah jalan raya dalam masa yang singkat.

“Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, kompaun, digantung lesen dan akhirnya disenarai hitam akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.

“Sistem ini masih mengkaji medium yang sesuai untuk memberi notis kesalahan kepada pesalah dan perkara ini akan diumumkan kelak,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Tan Sri Azmil Khalid, di sini, hari ini.

Dilapor, sistem berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan sejak Mei lalu, terpaksa ditangguhkan kerana mengalami beberapa masalah teknikal dan kekangan akta JPJ.

Sistem tersebut yang bakal memberikan impak besar dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini diluluskan Kabinet akhir tahun lepas selepas diselesai masalah berbangkit.

Liow berkata sistem tersebut melibatkan 21 kamera Awas di kawasan berisiko tinggi kemalangan seluruh negara termasuk di Pagoh, Johor yang berlaku kemalangan maut melibatkan bas ekspres baru-baru ini.

Beliau berharap sistem itu dapat mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi kelajuan yang ditetapkan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan peningkatan kes kemalangan maut jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.