Penagih alkohol perlu bantuan, bukan hukuman

Penagih alkohol perlu bantuan, bukan hukuman

Ahli AA Malaysia berkata laporan mengenai seorang wanita yang dirantai di depan bangunan kerana mabuk, amat menyedihkan.

alcoholic-1
PETALING JAYA: Seorang penagih alkohol yang dalam proses pemulihan mengecam laporan baru-baru ini mengenai seorang wanita yang dipercayai didera kerana didakwa gian hendak minum arak.

Minta supaya identitinya hanya dikenali sebagai “ahli lama” persatuan Alcoholics Anonymous (AA) Malaysia, beliau berkata masyarakat umum perlu diingatkan individu yang menderita akibat alkohol perlu dibantu, bukan diberi layanan kejam.

“Alkoholisme dikenali sebagai penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berita mengenai seorang wanita berusia 26 tahun yang ditemui berantai di depan kompleks 3K Serdang Jaya, Ahad lalu.

Semalam, polis berkata ibu wanita itu mengaku beliau yang merantai anaknya di situ.

“Beliau mendakwa anak perempuannya itu mabuk,” kata Ketua Polis Serdang Megat Mohd Aminuddin Alias dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

“Sangat menyedihkan jika wanita itu dirantai kerana dia seorang penagih alkohol. Ini bukan caranya untuk menangani masalah dengan alkohol,” kata ahli AA itu.

“Kira-kira 13 tahun lalu, saya dapat tahu mengenai seorang penagih yang dirantai dan saya rasa marah. Saya dan seorang rakan bertemu dengan penagih itu dan tidak lama selepas itu, kami dapat membebaskannya.”

Katanya, ramai yang beranggapan penagih alkohol sebagai orang yang akan minum, mabuk dan terbaring di jalanan.

“Seorang penagih alkohol ialah orang yang ketagih kepada alkohol bukannya seseorang yang hendak khayal,” katanya.

Beliau mendesak kepada mana-mana individu yang percaya mereka penagih alkohol dan ingin berkawan dengan penagih lain, boleh menghubungi AA Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Kami penagih alkohol juga. Pendirian AA ialah ‘Jika anda hendak minum, itu masalah anda. Jika anda hendak berhenti dan tak boleh, maka cuba AA’.

“Kami boleh bantu. Tidak ada bayaran atau tempoh. Tujuan utama kami ialah berhenti minum dan bantu penagih lain untuk cari ketenangan,” katanya.

Beliau berkata AA menerusi perjumpaan mingguannya, berjaya membantu ramai penagih berhenti daripada tabiat minum arak.

“Saya ambil masa 4 tahun untuk berhenti minum, tetapi sekarang saya sudah tidak minum selama 20 tahun.

“Menerusi mesyuarat AA, kami berbual dan memberi sokongan antara satu sama lain.

“AA tidak pernah guna atau bantah sebarang cara. Kami jumpa jalan untuk berhenti menggunakan arak dan berhasrat berkongsi pengalaman dengan orang lain yang mempunyai masalah sama,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AA Malaysia, boleh ke laman web www.aamalaysia.org.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.