
Semua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan yang dibuka di jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Kuala Krai.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir menyatakan 2,573 orang daripada 712 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan di jajahan Pasir Puteh, 570 mangsa (202 keluarga) ditempatkan di 9 pusat pemindahan di jajahan Pasir Mas.
Seramai 157 orang (54 keluarga) ditempatkan di 3 pusat pemindahan di Jajahan Kota Bharu, manakala 44 orang (10 keluarga) berada di 2 pusat pemindahan di Kuala Krai.
Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang kini di paras 9.64m berbanding 9.83m malam tadi yang melepasi paras bahaya 9m.
Di Sabah, mangsa banjir di Pitas dan Paitan kekal 824 orang daripada 251 keluarga pagi ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, 30 orang daripada 9 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Kampung Kubambangan, di Paitan tidak berubah.
Begitu juga 45 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di Dewan Kampung Binsulung.
Jumlah mangsa di 6 pusat pemindahan di Pitas juga tidak berubah, iaitu 128 orang daripada 33 keluarga di Dewan Kampung Kusilad, Dewan Kampung Sinukab (76 orang daripada 14 keluarga) dan Dewan Komuniti Kampung Indah (137 orang daripada 60 keluarga).
Selain itu, 35 orang daripada 7 keluarga ditempatkan di Dewan SK Salimpodon, Dewan SK Rukom (59 orang daripada 18 keluarga) dan Dewan SK Pekan Pitas 2 (314 orang daripada 100 keluarga).
Mulliadi Al-Hamdi berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dijangka membuat lawatan ke daerah kecil yang terjejas dengan banjir hari ini.
Di Sarawak pula, 460 murid dari 8 sekolah rendah di negeri itu tidak dapat meneruskan sesi persekolahan hari ini kerana masalah banjir sejak semalam.
Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata, 8 sekolah itu terdiri daripada 4 di Bintulu, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang dan SK Kuala Binyo.
“Empat sekolah lagi ialah di Miri, iaitu SK Rumah Ranggong, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok dan SK Long Loyang,” katanya hari ini.
Ismail berkata, 5 sekolah rendah turut terjejas dengan banjir, 2 di Bintulu dan 3 lagi di Miri membabitkan 599 murid, namun sekolah masih dibuka seperti biasa.
Beliau berkata, di Bintulu, sekolah terjejas ialah SK Nanga Penyarai serta SK Bukit Balai, manakala di Miri ialah SK Sungai Seputi, SK Sungai Kelabit dan SK Kampung Bulau.