
Beliau berkata, ini kerana AS di bawah presiden barunya Donald Trump akan menggunakan pengaruhnya agar setiap hubungan dagang dengan negara lain berpihak kepadanya.
“Donald Trump menggunakan slogan ‘American First’. Beliau juga kapitalis yang dominan di sana dengan rangkaian industri yang kuat.
“Kita tidak boleh cuai dan terus berasa lega. Saya fikir AS akan hidupkan aturan dagangan (atau perjanjian lain) yang memihak kepada mereka dengan negara yang boleh dipergunakan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sebaik selepas mengangkat sumpah sebagai presiden AS yang ke-45 pada Jumaat lalu, White House dalam satu kenyataan mengumumkan menarik diri daripada TPPA, pada masa sama akan menumpukan perhatian kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta).
Nafta adalah perjanjian melibatkan negara itu dengan Kanada dan Mexico yang dilaksanakan pada 1994.
Australia dilaporkan berkata perkembangan itu menjadikan TPPA dalam keadaan tidak pasti, manakala Jepun berkata ia akan berhadapan jalan sukar untuk direalisasikan.
“TPPA akan menjadi sukar tanpa AS, tetapi kita masih ada masa sehingga 2018 apabila perjanjian itu perlu dimeterai. Kami percaya masih berpeluang untuk meyakinkan AS tentang kepentingan perdagangan bebas,” kata Penasihat Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, Yoshihide Suga seperti dipetik CNBC, hari ini.
Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pula semalam berkata, Malaysia antaranya akan mengkaji kemungkinan mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) secara 2 hala dengan ahli TPPA, jika perjanjian itu tidak terlaksana.
Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR Wong Chen menyambut baik langkah itu, tetapi menegaskan terma tertentu yang ada dalam TPPA tidak boleh disertakan dalam perjanjian itu.
“Kita membantah TPPA bukan kerana tidak setuju dengan perdagangan bebas, tetapi ada klausa yang menghakis kedaulatan dan tidak berdaya saing.
“Saya setuju dengan kenyataan Mustapa, tetapi mengingatkan agar (klausa tersebut) tidak dimasukkan dalam perjanjian 2 hala itu nanti,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata walaupun tidak senang dengan banyak kenyataan Trump yang biadap dan kasar, keputusannya menarik diri daripada TPPA harus diterima.
Sepanjang kempen, Trump serta calon Demokrat Hillary Clinton senada dalam penentangan mereka terhadap perjanjian kontroversi itu.