
Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata, 9 mayat terdiri daripada 3 lelaki dan 6 wanita itu dijumpai terdampar di pantai berhampiran.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, bot berkenaan dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.
Katanya, 2 mangsa yang ditemui selamat terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 28 dan 20 tahun.
“Kami percaya ada lagi yang terselamat dan sudah melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa terselamat dihantar ke Klinik Kesihatan Tenggaroh untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, anggota polis, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tragedi itu.