
Mangsa kejadian, Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, berkata dia dan majikan menerima ugutan selepas kejadian 14 Januari itu.
“Selepas kejadian saya menerima ugutan dan majikan saya juga kena ugut,” kata Nasrul kepada pemberita.
Nasrul tidak menamakan pihak yang membuat ugutan itu.
Wakil pemandu lori, Hairi Ali berkata, kejadian yang menimpa Nasrul Faiz mencerminkan sikap angkuh sesetengah kelompok masyarakat terhadap kaum pekerja seperti mereka.
“Kerja kami mulia. Daripada sekecil barang hingga sebesar barang kami bawa dan hantar ke seluruh negara. Kami kerja hantar barang kepada masyarakat siang dan malam,” katanya.
“Di luar negara kami pemandu lori dihormati, tetapi di Malaysia kami dibuat macam sampah.”
Nasrul dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang.
Kejadian berlaku selepas lori yang diundurkan terlanggar sebuah kereta Mercedez Benz, yang dikatakan milik seorang lelaki bergelar “Datuk”.
Menurut polis, “Datuk” tersebut tidak terbabit dalam serangan itu.
Minggu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis Ampang supaya memastikan penyerang tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Polis dalam satu kenyataan hari ini berkata 4 orang lelaki dan 1 perempuan ditahan reman pagi tadi berhubung kes itu.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah mengalu-alukan tangkapan ke atas semua suspek terbabit.
“Kami mendesak mereka dikenakan hukuman berat, jangan tindas orang susah, jangan tindas pemandu lori, jangan tindas orang miskin,” katanya.
Ridzuan merupakan penganjur perhimpunan hari ini. Turut hadir Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.
Nasrul ketika ditanya adakah beliau akan terus menghantar barang sebagai seorang pemandu lori berkata:
“Saya tidak serik. Rezeki saya ada di mana-mana,” katanya.
Negara ini bukan ‘free for all’, Khalid arah polis tangkap suspek