Bomba selamatkan 53 warga emas selepas madrasah ditenggelami air

Bomba selamatkan 53 warga emas selepas madrasah ditenggelami air

Madrasah Nurul Saadah di Kampung Tok Dor, Besut dinaiki air sedalam 0.7 meter malam tadi

bomba_banjir
BESUT:
Jabatan Bomba dan Penyelamat memindahkan 53 warga emas dari Madrasah Nurul Saadah ke pusat pemindahan selepas tempat pengajian dan penginapan mereka di Kampung Tok Dor di sini, ditenggelami air malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Azlimin Mat Noor berkata kesemua mereka dipindahkan menggunakan kenderaan bomba selepas madrasah tersebut dinaiki air sedalam 0.7 meter.

“Sejurus menerima panggilan kira-kira 7.00 malam tadi pihak kami terus melakukan operasi menyelamat mangsa yang terdiri daripada wanita warga emas berumur dalam lingkungan 64 hingga 88 tahun.

“Jumlah mangsa di pondok berkenaan yang ramai menyebabkan operasi pemindahan terpaksa dilakukan sebanyak 2 kali ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Anak Ikan.

“Walaupun keadaan gelap, kita terpaksa memindahkan mereka semua kerana bimbang paras air makin naik dan kerja menyelamat semakin sukar dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi pemindahan itu malam tadi.

Sementara itu, seorang mangsa Hindon Mat Zin, 83, berkata ini kali kedua madrasah atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok itu dinaiki air sepanjang 12 tahun beliau menginap dan belajar agama di madrasah berkenaan.

Katanya paras air yang tinggi merisaukan hati mereka apabila katil tempat mereka melelapkan mata dan bilik untuk berteduh ditenggelami air separas pinggang.

“Bila air mula naik kami semua berpindah ke masjid di kawasan sekolah pondok berkenaan namun paras air yang naik secara mendadak menyebabkan masjid berkenaan turut digenangi air.

“Kali terakhir madrasah ini banjir pada tahun 2014 namun tidaklah seteruk kali ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.

https://www.facebook.com/TerengganuTimes/videos/1273490746076786/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.