
Mengakui tiada peruntukan undang-undang untuk memantau atau menyekat bekas penjenayah, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis mempunyai cara tersendiri melakukan pemantauan terhadap mereka.
Beliau berkata demikian semasa mengulas warga Malaysia, Selva Kumar Subbiah, 56, yang selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada yang mungkin akan pulang ke Malaysia.
“Menurut undang-undang kita, apabila seseorang itu selesai menyempurnakan hukuman walaupun di luar negara dan apabila kembali ke negara ini, beliau bebas seperti individu lain.
“Bagaimanapun, tidak ada undang-undang yang membolehkan kita terus memantau atau menyekat kebebasan beliau pula. Tetapi apa pun, pihak polis ada cara memantau mereka yang terlibat dengan jenayah sedemikian,” kata beliau pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 10/2017 bagi Perayaan Tahun Baru Cina di Persada PLUS, Subang hari ini.
“Sungguhpun perbuatan ini dilakukan di luar negara, rekod jenayah itu akan dikongsi polis Kanada dengan kita. Kita akan simpan semua rekod jenayah ini,” katanya.
Subbiah selesai menjalankan hukumannya pada 29 Januari, selepas dihukum penjara pada 1992 atas 19 kesalahan serangan seks, 24 kesalahan dadah, serta 10 kesalahan melibatkan pelbagai jenayah lain termasuk serangan dan peras ugut.
Ketika pendengaran mengenai pembebasannya pada Jun tahun lalu, pegawai penjara memberitahu Subbiah yang beliau masih tidak kelihatan insaf atau rasa berdosa.
“Maklumat fail mendapati kamu masih tidak mampu bersimpati dengan mangsa, rasa kesal dan gagal mengambil tanggungjawab penuh di atas pilihan anda sendiri,” petik Toronto Star, yang menambah Subbiah mendiamkan diri pada sesi tersebut.
Subbiah tiba di Kanada pada 1980 tetapi tidak pernah mendapat taraf penduduk tetap. Beliau diberikan visa pelajar dan pelawat, dan mendakwa menuntut di Universiti McMaster dan Universiti Ryerson dalam jurusan agama.
Sementara itu, Khalid turut mengulas kejadian 3 orang kanak-kanak diikat kaki, tangan dan mulut menggunakan kain di sebuh taska di Seksyen 15, Bangi menyatakan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan di bawah akta kanak-anak.
“Kita akan hadapkan mereka yang terlibat itu ke mahkamah,” katanya.
24 tahun di penjara Kanada, perogol bersiri bakal pulang ke Malaysia