2 daripada 5 rakyat Kedah hidap darah tinggi

2 daripada 5 rakyat Kedah hidap darah tinggi

Seorang daripada 4 rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas menghidap kencing manis dan ini merupakan kadar tertinggi di Malaysia.

Datuk-Dr-Norhizan-Ismail.
PADANG TERAP:
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2015 menunjukkan Kedah mempunyai paling ramai penghidap kencing manis dan darah tinggi di negara ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kajian itu mendapati 25.4% atau seorang daripada 4 rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas, menghidap kencing manis dan ini merupakan kadar tertinggi di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, hampir 40% rakyat negeri ini atau 2 daripada 5 orang mengalami masalah darah tinggi dan kadar itu juga yang tertinggi di Malaysia.

“Faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah tabiat pemakanan tidak betul,” kata Dr Norhizan selepas menghadiri program penutup Klinik Penyayang Percuma, hari ini.

Beliau berkata, antara tabiat pemakanan tidak sihat ialah pengambilan makanan dengan kandungan gula tinggi, berminyak dan berkolesterol seperti nasi lemak, roti canai serta teh tarik.

Dr Norhizan juga berpandangan budaya yang dipegang selama ini, iaitu mesti menjamah hidangan ketika menghadiri kenduri turut menyumbang kepada masalah itu.

Katanya, keadaan diburukkan dengan mentaliti “lebih baik tidak tahu daripada tahu” yang dipegang sesetengah orang bagi mewajarkan keengganan mereka membuat pemeriksaan kesihatan.

“Mereka tidak mahu risau sekiranya disahkan ada penyakit. Mentaliti ini perlu diubah,” katanya.

Dr Norhizan turut mencadangkan peniaga makanan menyediakan pilihan hidangan nasi dalam kuantiti sedikit dengan harga berbeza.

“Biasanya apabila kita minta nasi, peniaga akan beri nasi yang banyak sehingga penuh satu pinggan, bila kita minta separuh pula harga tetap sama.

“Dengan tabiat kita yang tidak suka membazir, maka rata-rata akan lebih memilih mengambil nasi yang banyak kerana harga tetap sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.