
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, mesyuarat khas hari ini turut memilih 4 Februari ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 12 Februari.
Adenan menyandang kerusi DUN Tanjung Datu sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2006.
Ketua menteri Sarawak ke-5 itu meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, akibat komplikasi jantung pada usia 72 tahun, 11 Januari lalu.
Pada PRN Sarawak Ke-11, Mei tahun lalu, Adenan mendapat 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang sekadar meraih 468 undi.
Calon PKR itu turut hilang depositnya.
SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjung Datu itu, kelmarin.
Semalam, sumber dipetik FMT berkata, 2 nama dicadangkan sebagai calon berpotensi untuk mengisi kerusi itu.
Mereka ialah balu Adenan, Puan Sri Jamilah Anu dan anak bongsu mereka yang berusia 26 tahun, Azizul Annuar Adenan.
Semalam, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu ini untuk membincangkan persiapan menghadapi PRK itu.
Timbalan Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, mesyuarat itu turut akan membincangkan kekosongan jawatan presiden PBB yang ditinggalkan Adenan.
Dalam pada itu, Hashim berkata, daftar pemilih DUN Tanjung Datu mengandungi 9,959 pengundi berdaftar.
“Daripada jumlah itu, 9,771 orang ialah pemilih biasa, 188 pengundi awal yang terdiri daripada pengundi tidak hadir (PTH), tentera dan pasangan serta polis dan pasangan polis gerakan am (PGA).
“Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dipamerkan pada 2 Februari 2017. Pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web SPR.”
Katanya, Pegawai Daerah Lundu, Hamsein Atar dilantik sebagai pegawai pengurus PRK Tanjung Datu yang akan dibantu 2 penolong pegawai pengurus.
Beliau berkata, SPR mengalu-alukan NGO menjalankan pemerhatian ke atas proses PRK ini bermula hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
“Tarikh tutup permohonan sebagai pemerhati tempatan ini pada 30 Januari,” katanya.