Prasarana cadang sambung diskaun 50% tambang LRT

Prasarana cadang sambung diskaun 50% tambang LRT

Promosi itu berjaya mengurangkan kesesakan penumpang dalam tren pada waktu puncak iaitu antara 7 pagi hingga 10 pagi sebelum waktu bekerja.

Zohari-Sulaiman_lrt_^00
KUALA LUMPUR:
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tidak menolak kemungkinan memanjangkan promosi 50% tambang dari pukul 6 hingga 7 pagi ke aliran lain pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata setakat ini promosi yang ditawarkan kepada pengguna sistem transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan monorel bermula 16 Sept lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Kami mendapati sepanjang tempoh promosi itu, ia berjaya mengurangkan kesesakan penumpang dalam tren pada waktu puncak iaitu antara 7 pagi hingga 10 pagi sebelum waktu bekerja.

“Kami tidak akan teragak-agak menawarkan promosi sedemikian ke aliran lain seperti Sri Petaling dan waktu puncak selepas waktu kerja iaitu antara pukul 5 hingga 6 petang bagi mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program “Smiles 4 Cakne” (Cancer Associates & Kindred Network) di sini, hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian diskaun tambang sebanyak 50% kepada pengguna LRT dan monorel bermula 16 September bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seterusnya mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, seramai 50 badut dari Muslims Clown Malaysia menceriakan penumpang LRT aliran Kelana Jaya sempena Program Amal “Smiles 4 Cakne” untuk kanak-kanak kanser dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Program dengan kerjasama Rapid Rail Sdn Bhd itu turut menyaksikan persembahan badut di dalam tren LRT sambil mengutip derma untuk menyokong aktiviti persatuan berkenaan dalam membantu pesakit kanser kanak-kanak dan anggota keluarga mereka.

Menurut Ketua Penyelaras Cakne Mohd Shah Awaluddin, selain membantu mengumpul dana daripada orang ramai menerusi persembahan badut, program itu juga turut memberi kesedaran kepada mereka untuk memberi perhatian terhadap nasib kanak-kanak kanser yang kurang bernasib baik.

“Kanak-kanak kanser dan anggota keluarga mereka memerlukan semangat positif dalam kalangan masyarakat kerana mereka agak menderita ketika mendapatkan rawatan kimoterapi.

“Oleh itu, menerusi program ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memberi perhatian terhadap pesakit-pesakit kanak-kanak kanser ini mengurangkan penderitaan dan mengembalikan keceriaan kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.