
Datuk Zaid Ibrahim berkata demikian dalam catatan blog terbaharunya yang mengulas pelancaran PPBM pada Sabtu lepas.
“Ucapan dipenuhi dengan rayuan kepada PAS dan parti pembangkang lain untuk bersatu, rayuan yang orang anggap angan-angan,” kata bekas menteri undang-undang itu.
Walaupun PPBM mengharapkan pertandingan 1 lawan 1 pada pilihan raya umum akan datang, Zaid berkata rayuan itu menunjukkan parti itu “tidak meyakini kekuatan sendiri”.
Beliau mempertikaikan mengapa PPBM berharap PAS menyertai mereka melawan BN sedangkan pemimpin parti Islam itu dengan jelas menyatakan tidak berminat membentuk pakatan dengan pembangkang.
“PPBM perlu ada keyakinan. Mereka perlu beritahu pengundi bahawa pembangkang akan menang pertandingan 1 lawan 1 atau 3 penjuru.
“Mereka perlu beritahu pengundi PAS tidak pernah menang apa-apa dalam sejarah 60 tahun parti itu tanpa sokongan pembangkang lain,” kata Zaid.
Zaid berkata orang ramai perlu diberitahu undi Melayu yang dikutip PAS akan didapatkan semula melalui Amanah.
Beliau mempertikaikan mengapa PPBM tidak mahu membantu Amanah di Kelantan, dan tertanya-tanya adakah kerana PPBM tidak mahu menyinggung PAS lalu merosakkan peluang parti Islam itu menyertai pakatan pembangkang.
“PPBM perlu terima hakikat siapa kawan politik mereka yang tulen,” kata Zaid.
Zaid berpendapat sekiranya PPBM membantu Amanah di Kelantan, parti Islam alternatif itu akan membantu PPBM di Johor dan Kedah.
“Begitu juga, lebih baik PKR Selangor meyakini Amanah dan bukannya berharap PAS menyertai mereka.”
“Saya harap pakatan pembangkang sebenar mula bersepakat dan bertindak sekarang. Masih ada masa,” kata Zaid, yang meramalkan pilihan raya umum hanya akan diadakan dalam masa kira-kira 9 bulan atau tahun depan.
“Jadi mula kerja keras sekarang dan jangan berlengah dengan angan-angan,” kata Zaid kepada PPBM, yang diingatkan “perkara yang betul” hanya boleh dilakukan jika parti itu mempunyai “rakan kongsi yang betul”.