
Exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata, kempen berkenaan membolehkan pembeli mengetahui gaya hidup di pangsapuri, peraturan, peranan pihak pengurusan bangunan dan perkara lain yang perlu mereka fahami.
Beliau berkata, kekurangan pemahaman seperti itu menyebabkan masalah sosial di kalangan kejiranan.
“Langkah memberi taklimat kepada pembeli mengenai kehidupan di pangsapuri, kaedah dan peraturan yang mereka perlu ikuti walaupun sebelum berpindah boleh membantu mengelakkan masalah.
“Kerajaan negeri akan membawa cadangan ini kepada jabatan perumahan dan mungkin kita akan hadir dengan dasar dan polisi bagi membolehkan pemaju mengadakan inisiatif seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Jagdeep menghadiri kempen kesedaran oleh pemaju M Summit untuk pembeli pangsapuri mampu milik pegangan bebas Rama Pavilion di auditorium Komtar.
Pembeli diberi taklimat mengenai hak mereka, peranan badan pengurusan dan apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan apabila melakukan pengubahsuaian terhadap kediaman baru termasuk peraturan lain.
Jagdeep berkata, ia pertama kali dianjurkan pemaju bagi pembeli dan menambah sesi seperti itu bagus terutama kepada pembeli pertama kali dan yang tidak pernah tinggal di pangsapuri.
“Kami fikir program yang baik seperti ini harus dicontohi pemaju lain seperti dilakukan M Summit,” katanya
Jagdeep turut berkata, M Summit adalah pemaju swasta pertama yang membina 100% unit mampu milik dalam projek perumahan di Pulau Pinang, sejak kerajaan negeri memperkenalkan skim itu pada 2013.
Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri menerima 2,181 permohonan bagi rumah berharga RM200,000 seunit; 6,531 untuk RM300,000 seunit dan 1,563 untuk RM400,000 seunit.
Tetapi daripada 10,275 pemohon, hanya 8,295 pemohon yang berjaya kerana ramai gagal mendapatkan pinjaman bank, katanya.
“Kadar penolakan pinjaman yang tinggi masih lagi menjadi cabaran utama. Golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah paling sukar mendapatkan pinjaman yang sepatutnya mudah kepada mereka,” katanya.
Jagdeep berkata, kerajaan negeri akan menghantar petisyen yang ditandatangani Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ketua pembangkang negeri Datuk Jahara Hamid dari Barisan Nasional untuk meminta kerajaan persekutuan agar Bank Negara Malaysia “melonggarkan” keperluan pinjaman perumahan golongan berpendapatan rendah.
Ia juga akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik rumah berpendapatan rendah dan pemilik rumah berpendapatan sederhana, yang menyewakan rumah untuk mendapatkan keuntungan, katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan M Summit Albert Moh berkata, 759 unit Rama Pavilion di Teluk Kumbar dijadual siap pada September tahun ini dan pembeli akan mendapat kunci mereka pada Tahun Baru Cina 2018.
Beliau berkata, hanya kira-kira 100 unit yang masih ada.
Moh turut menyatakan syarikatnya juga melancarkan projek perumahan persaraan sejahtera Scots Pavilion di Jalan Scotland yang akan menjadi 100% mesra bagi golongan kurang upaya tidak lama lagi.
Projek 22 tingkat itu mempunyai 89 unit perumahan, kemudahan fisioterapi dan ciri lain yang sesuai untuk warga emas tinggal secara bersendirian.