Berang perbuatan dirakam, penghuni kondo serang pengawal

Berang perbuatan dirakam, penghuni kondo serang pengawal

Pihak polis sedang menyiasat laporan kedua-duanya dan mengambil kenyataan daripada saksi lain serta memeriksa CCTV bagi rakaman kejadian.

bos-1
GEORGE TOWN:
Seorang pengawal keselamatan mendakwa dipukul penghuni kondo di Bukit Gelugor, Pulau Pinang, semalam semasa beliau merakam perbuatan lelaki itu cuba memotong pengunci tayar.

Video itu, yang dikongsi kepada media oleh polis, menunjukkan penghuni berkenaan cuba membuka pengunci tayar roda kereta Mercedes-Benz, menggunakan pemotong kunci.

Apabila menoleh, beliau ternampak pengawal berkenaan sedang merakam perbuatannya dan mendekatinya dengan pemotong kunci.

Terdengar lelaki itu bertanya, “apa lagi yang kau nak tengok?”, diikuti dengan “bos, bos” apabila pengawal keselamatan terkial-kial dengan telefonnya.

Lelaki berkenaan dilihat mengangkat pemotong kunci tetapi tidak ditunjukkan dengan jelas pada video sama ada beliau memukul pengawal apabila rakaman jam 4 petang itu tiba-tiba berakhir.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, polis menerima laporan berasingan daripada kedua-dua lelaki mengenai kejadian pada Sabtu itu.

Beliau berkata pengawal, 43, melaporkan kepada polis pada 7.40 malam dipukul dan dicederakan penghuni kondo kira-kira pukul 4 petang semalam di hadapan lobi kondo Delima Palace.

“Pengawal itu berkata lelaki berkenaan meletakkan kereta dalam petak menunggu terlalu lama, jadi pihak pengurusan bangunan mengunci tayarnya.

“Pengawal itu berkata penghuni itu bertengkar dengannya selepas menyedari perbuatannya dirakam ketika cuba membuka pengunci tayar.

“Beliau berkata seorang penghuni menyerangnya dengan pemotong kunci, menumbuk dan menendangnya; mencederakan badan dan muka. Beliau pergi ke hospital untuk memeriksa dan merawat kecederaan dialaminya,” kata Mior dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penghuni berkenaan turut membuat laporan.
Pihak polis sedang menyiasat kedua-dua laporan serta mengambil kenyataan daripada saksi lain dan memeriksa CCTV (kamera litar tertutup) rakaman kejadian.

“Kami akan merujuk kepada pejabat timbalan pendakwa untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.