200 nelayan bantah projek tambakan Pulau Pinang

200 nelayan bantah projek tambakan Pulau Pinang

Pengerusi persatuan nelayan berkata projek tambakan laut bagi membina 3 pulau buatan akan mendatangkan kesan buruk kepada nelayan dan ekosistem di perairannya.

fishmen-protes
GEORGE TOWN:
Kira-kira 200 nelayan pantai Pulau Pinang mengadakan perhimpunan aman di perairan Tanjong Tokong di sini, hari ini bagi menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP mengkaji semula projek tambakan laut yang menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata projek tambakan laut bagi membina 3 pulau buatan itu dilihat mendatangkan kesan buruk kepada nelayan dan ekosistem di perairan itu.

“Antara masalah yang dihadapi nelayan ekoran daripada projek itu ialah keselamatan perairan terganggu disebabkan lalu lintas (perairan) sibuk dengan kapal-kapal yang membawa batu dan pasir untuk kerja menambun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 200 nelayan dari Unit Nelayan Tanjong Tokong, Seberang Perai, Teluk Bahang, Pulau Pinang Selatan dan Hujung Batu mengadakan perhimpunan aman dengan menaiki 50 bot di perairan Tanjong Tokong.

fishmen-protes31

Nazri berkata sebelum ini, pihaknya sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab namun, ia tidak diendahkan.

Sementara itu, timbalan pengerusi persatuan berkenaan Mahadi Md Rodzi turut menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang membenarkan pemaju sewenang-wenangnya menjalankan kegiatan pembangunan di kawasan perairan itu tanpa berbincang dengan mereka terlebih dahulu.

“Mereka perlu rujuk persatuan nelayan dahulu yang semestinya lebih peka tentang hal ehwal kegiatan nelayan di sini dan bukannya memikirkan soal keuntungan semata-mata.

“Kes ini sudah berlarutan selama 3 tahun, jadi mereka perlulah menggunakan saluran yang betul iaitu berbincang dengan kami supaya masalah ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Mahadi berkata projek tambakan laut itu turut menyebabkan kualiti air laut semakin terjejas seterusnya mengurangkan pendapatan nelayan yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

Pulau Pinang kompromi untung rugi kesan projek tambakan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.