Pemuda PKR: Mengapa tanah di Pahang hilang status rizab Melayu?

Pemuda PKR: Mengapa tanah di Pahang hilang status rizab Melayu?

Lee Chean Chung terkejut tiada tanah ganti disediakan apabila tanah yang dijual kepada Pengerusi PAC Hasan Arifin hilang status rizab Melayu.

PKR-Lee-Chean-Chung
PETALING JAYA: Pemuda PKR mendedahkan status rizab Melayu sebidang tanah yang dibeli Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin diubah sebelum dijual, tetapi tiada usaha untuk menggantikan tanah itu seperti yang ditetapkan undang-undang.

Perubahan status tanah itu didedahkan dalam jawapan bertulis kepada Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung di Dewan Undangan Negeri Pahang pada penghujung tahun lepas.

Chean Chung terkejut tiada tanah ganti disediakan apabila tanah yang dijual kepada Hasan, yang juga bekas timbalan menteri besar Pahang, hilang status rizab Melayu.

“Merujuk kepada Perkara 89 Perlembagaan Malaysia, jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

“Ternyata bahawa dalam isu ini, keputusan Kerajaan Pahang bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan tersebut.”

Pada Jun tahun lepas, laporan mendedahkan Chean Chung membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebidang tanah rizab Melayu seluas 13,000 meter persegi di Medan Tok Sira, Pahang.

Aduan susulan dakwaan Hasan membeli tanah tersebut pada harga RM76,499 ketika beliau memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan kemudian menjualnya pada harga 5 kali ganda harga asal.

Chean Chung memberitahu wartawan kerajaan Pahang membatalkan status rizab Melayu itu kerana ia mempunyai status komersil.

Bagaimanapun, sekalipun benar alasan itu, mengapa tanah dijual kepada Hasan pada harga rendah, soalnya.

“Pada 2002, harga jualan kepada Hasan Arifin adalah RM76,499 sedangkan anggaran nilai tanah tersebut jika merujuk kepada Notis Taksiran Pejabat Duti Setem adalah RM213,000.

“Pada 2004, Hasan Arifin menjual tanah tersebut kepada seorang individu bernama Ti Lian Yeah pada harga RM397,683.02, iaitu 5 kali ganda lebih tinggi daripada harga Hasan Arifin membeli tanah tersebut.

“Kerajaan Pahang tidak mendapat keuntungan tetapi Hasan yang mengaut keuntungan dalam kes ini.”

Chean Chung mahu kerajaan negeri mendedahkan minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang membuat keputusan untuk menukar menjual dan menukar status tanah itu.

“Saya juga menggesa Pasdec Corporation Sdn Bhd, selaku anak syarikat negeri Pahang, menjelaskan rasional pembatalan tanah rizab Melayu serta penjualan tanah tersebut kepada Hasan,” katanya, merujuk kepada syarikat milik kerajaan negeri yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan hartanah.

Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang berkata tiada tindakan susulan diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila urusniaga tanah itu didedahkan.

“Berapa banyak lagi urusniaga tanah perlu dibongkar sebelum perdana menteri laksanakan reformasi?,” soalnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.